Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Bekas naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),
Datuk Hamidah Othman mendakwa sudah memberi 'peringatan' kepada pucuk
pimpinan mengenai Ahmad Faizal Azumu ketika dia hendak dilantik sebagai
Pengerusi PPBM Perak.
Bagaimanapun Hamidah berkata pandangan itu tidak diendahkan malah dirinya pula dituduh gila jawatan.
Hamidah diminta mengulas tindakan 19 ahli PPBM Batu Gajah yang
mengumumkan keluar parti hari ini kerana tidak senang dengan kepimpinan
Ahmad Faizal.
"Apa yang terjadi pada hari ini telah saya bayangkan kepada pucuk
pimpinan ketika mereka mahu melantik Faizal sebagai pengerusi (PPBM
Perak).
"Saya kurang yakin dengan kewibawaan dan kepimpinannya, kerana
merasakan dia belum bersedia menerajui parti di peringkat negeri.
Tambahan pula peluang Pakatan Harapan (PH) dan PPBM di Perak agak cerah.
"Faizal merupakan bekas pegawai khas Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika
menjadi Menteri Besar Kedah. Orang politik terutama di kalangan Umno
tahu Faizal adalah 'key man' kepada Mukhriz terutama ketika Mukhriz
bertanding jawatan Naib Presiden Umno, Ketua Pemuda Umno. Faizal adalah
orang kuat menjalankan kempen untuk Mukhriz.
"Malangnya saya telah disalah anggap, dituduh gila jawatan, gila kuasa,
agen Umno dan pengkhianat," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari
ini.
Pelantikan Ahmad Faizal sebagai Pengerusi PPBM Perak yang baru tidak
dipersetujui sekumpulan ahli parti itu di Batu Gajah sehingga mereka
mengumumkan keluar parti.
Ketua Penaja PPBM Bahagian Batu Gajah, Mohd Shirin Adenan dipetik
sebagai berkata beliau dan 18 yang lain mengisytiharkan keluar parti
hari ini sekaligus bahagian tersebut dibubarkan.
Ahmad Faizal dilantik menggantikan Hamidah yang keluar parti September lalu.
PPBM kini dilanda kontroversi selepas satu demi satu pemimpin dan ahli
keluar parti kerana mendakwa kecewa dengan kepimpinan mereka.
Parti yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad itu juga diancam dibatalkan
pendaftarannya selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) memaklumkan
Armada, iaitu sayap pemuda parti itu tidak pernah diluluskan dalam
perlembagaan PPBM.
Sementara itu Hamidah menafikan dirinya sebagai 'orang belakang' dalam
tindakan 19 ahli keluar parti di Batu Gajah itu keluar parti pada hari
ini.
"Terpulang apa orang hendak cakap. Yang penting inilah kebenaran. Jika
perkara ini tak (masalah kepimpinan), orang tak akan ikut. Tambahan pula
pada hari ini saya tidak ada jawatan, kecualilah saya ada jawatan atau
kepentingan yang orang hendak ikut kerana sesuatu.
"Inilah realitinya, PPBM Perak sudah mati, apatah lagi pilihan raya
sudah semakin dekat, tidak ada gerakan. Sebagai sebuah parti bukan
sekadar ceramah tetapi kena ada gerak kerja dan jentera. Namun ia tak
berlaku di PPBM Perak," tegas Hamidah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.