SHAH ALAM: Pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 12 November lalu terus dipertikai.
Kali ini sekumpulan ahli parti berkenaan pula mendakwa pemilihan itu sebagai tidak telus.
Wakilnya yang juga bekas Timbalan Pengerusi DAP Taman Ehsan, Klang, L
Pannerselvam, berkata proses pengiraan undi dibuat dalam bilik tertutup
berjam lamanya, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan ahli
parti kemungkinan berlaku manipulasi undi.
"Perwakilan tidak dibenarkan tulis nama calon ketika mengundi,
sebaliknya hanya tulis nombor calon. Contohnya, jika perwakilan tulis
nombor 1,2,3,4,5,6,7,8,9, semua nombor ini dengan senangnya boleh
diubah.
"Nombor 1 boleh diubah jadi 11,10 atau 12. Nombor 2 pula boleh diubah
kepada 12,21,22,32,42,52,62 dan macam-macam nombor lagi. Adakah wujud
agenda demi mengekalkan pemimpin tertentu dalam DAP?
"Malah, wakil calon juga tidak dibenarkan melihat proses pengiraan ini,
seolah-olah ada benda hendak disembunyikan," katanya ditemui pemberita
selepas menghantar surat bantahan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan
(RoS) Selangor di sini, hari ini.
Pannerselvam turut menempelak Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang kerana
mentadbir DAP mengikut kehendak mereka, tanpa mengambil kira pandangan
ahli akar umbi.
"Pemimpin utama DAP perlu menjawab persoalan yang dibangkitkan ahli.
Pemimpin utama DAP jangan bercakap soal ketelusan jika DAP sendiri gagal
amalkan ketelusan," katanya dipetik Utusan Malaysia.
DAP melantik firma antarabangsa, Grant Thornton, bagi mengendalikan
keseluruhan proses pemilihan semula kali kedua CEC parti itu.
Pemilihan semula itu menyaksikan Ketua Parlimennya, Lim Kit Siang, kekal dalam kepemimpinan tertinggi parti berkenaan.
Yang turut kekal terpilih adalah anaknya yang juga Setiausaha Agung,
Lim Guan Eng, serta anak mendiang Karpal Singh, Gobind Singh Deo.
Bagaimanapun, hanya 1,376 daripada 2,576 perwakilan yang layak mengundi
hadir bagi pemilihan semula CEC di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah
Alam, pada 12 November.
Kehadiran kira-kira 53 peratus itu jauh merosot berbanding 1,725
perwakilan yang mengundi bagi pemilihan semula CEC parti itu pada 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.