KUALA LUMPUR: Dua jawatan tertinggi dalam Umno, Presiden dan Timbalan
Presiden dicadangkan tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun
hadapan.
Perkara itu diusulkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin
Hussein berkata dengan itu fokus untuk mengukuhkan Umno dan Barisan
Nasional (BN) dikalangan bukan Melayu boleh dipertingkatkan selain dapat
mengelakkan sesetengah pihak melaga-lagakan dua pemimpin tertinggi
parti itu.
Hishamuddin berkata, kebimbangan terbesarnya ialah BN akan memenangi
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tanpa sokongan pengundi bukan Melayu.
“Perkara paling penting untuk kita ialah jentera dan kepimpinan Umno di semua peringkat memfokuskan PRU14.
“Jika ia bermakna dua jawatan tertinggi kekal tidak dipertandingkan
kerana usul dikemukakan di peringkat bahagian, maka saya akan
menyokongnya.
“Ia (juga) menghalang orang daripada cuba melaga-lagakan Zahid dengan
saya, Zahid dan perdana menteri atau saya terhadap perdana menteri,”
katanya dipetik portal Mstar.
Ogos lalu, Umno bahagian Masjid Tanah meluluskan usul mencadangkan
Presidennya, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad
Zahid Hamidi kekal memegang dua jawatan tertinggi itu.
Zahid dilantik Majlis Tertinggi Umno untuk menjalankan tugas timbalan
presiden selepas parti itu menggantung sebelum memecat Tan Sri Muhyiddin
Yassin, Februari 2016.
Bagaimanapun, menteri pertahanan itu berkata, cadangan berkenaan tidak
akan dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung Umno sebagai usul.
“Saya sudah jelaskan kepada speaker yang kita tidak akan menyentuh
pemilihan Umno akan datang kerana sekarang terlalu dekat dengan PRU.”
Hishammuddin berkata, ia penting untuk BN mendapat sokongan semua kaum dan menggesa pengundi mempertimbangkannya.
“Jika kami memenangi pilihan raya akan datang, saya mahu mempunyai undi
bukan Melayu yang munasabah kerana kita semua pemegang amanah di
Malaysia.
“Kebimbangan terbesar saya bukan Barisan kalah dalam pilihan raya umum, tetapi menang tanpa sokongan bukan Melayu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.