Khamis, 23 November 2017

Isu imigresen Lebuhraya Pan Borneo-Brunei dijangka selesai tahun depan, kata Najib

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata isu-isu imigresen berkaitan laluan Lebuhraya Pan Borneo merentasi Brunei, dijangka dapat diselesaikan sebelum rundingan tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei tahun depan.
 
Ujarnya, dalam pertemuan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersempena  rundingan tahunan pemimpin ke-21 Malaysia-Brunei, cadangan Malaysia untuk mewujudkan laluan baharu  dari Bandar Seri Begawan ke Limbang di Malaysia, turut diterima baik oleh baginda Sultan.
 
Baginda juga mahu supaya proses memberi kelulusan imigresen yang melibatkan keperluan cop pada pasport sebanyak tujuh kali untuk laluan sehala merentasi Brunei ketika ini, dikurangkan kepada hanya sekali cop ketika masuk, dan sekali lagi semasa keluar, kata Najib.
 
Katanya, Malaysia juga akan mencadangkan supaya dibangunkan satu sistem yang mudah diaplikasi di samping menjaga keperluan keselamatan, bertujuan memudahkan pergerakan rakyat antara kedua-dua negara, dan pada masa sama, mempunyai ciri-ciri keselamatan yang diperlukan.
 
“Perkara ini sudah lama dibincangkan, kedua-dua pihak bersetuju supaya ia mesti diselesaikan sebelum rundingan tahunan pemimpin akan datang,” katanya dalam persidangan media selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Hassanal Bolkiah di sini petang ini.
 
Najib berkata, Sultan Hassanal Bolkiah jelas menantikan usaha ke arah melancarkan pergerakan laluan Pan Borneo, kerana menurutnya, semasa baginda menyertai Regatta di Kuching Sarawak minggu lepas, anggota pasukan baginda yang menggunakan laluan darat terpaksa menempuh perjalanan sehingga 14 jam untuk sampai.
 
Perdana menteri berkata, beliau memaklumkan bahawa apabila siap Lebuhraya Pan Borneo, tempoh waktu perjalanan itu dijangka boleh dikurangkan sehingga separuh daripada tempoh waktu ketika ini.
 
“Itulah kesan pembangunan Lebuhraya Pan Borneo itu nanti,” katanya. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.