Sabtu, 25 November 2017

Buku teks baru BI, MP minta penjelasan kementerian pendidikan

MALAYSIAKINI
 


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diminta untuk menjelaskan mengapa buku teks baru Bahasa Inggeris dikatakan diperolehi tanpa melalui tender terbuka, tidak seperti yang sebelumnya.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata minggu ini di Parlimen, beliau telah membangkitkan keputusan KPM untuk menggunakan buku teks baru "import" Minds Super and Pulse 2, untuk menggantikan buku teks KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) dan KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah) yang sedia ada untuk Tahun 1 dan pelajar Tingkatan 1.

Buku teks lama itu, katanya, telah diluluskan "tidak lama dahulu", melalui proses tender terbuka.

Walaupun buku teks tempatan, katanya, adalah tertakluk kepada tender terbuka yang kompetitif, tetapi menambah bahawa pembelian buku teks 'import' melalui penerbit tempatan untuk Super Minds dan Pulse 2 nampaknya dilakukan secara rundingan terus.

Oleh itu, katanya dalam satu kenyataan hari ini, KPM berhutang penjelasan kepada rakyat Malaysia mengapa mereka mengambil keputusan untuk menggantikan buku teks tempatan dengan yang 'diimport' dalam masa yang singkat dan dikatakan tanpa prosedur tender yang sewajarnya.

"Ini juga menimbulkan persoalan lain: mengapa membuat keputusan untuk menggunakan buku 'import' baru tidak sampai setahun selepas buku tempatan telah diluluskan dan dibeli?" tanya ahli Parlimen itu, yang juga jurucakap parlimen DAP untuk pendidikan, sains dan teknologi.

Awal minggu ini, Zairil membidas kementerian berkenaan kerana bertukar kepada buku-buku yang lebih mahal, yang katanya adalah tidak wajar kerana ia juga telah dicetak dalam negara walaupun kandungannya dari sumber Eropah.

Katanya, buku teks sebelum ini akan membabitkan kos kira-kira RM7.1 juta berdasarkan jumlah pendaftaran pelajar semasa, katanya.

Manakala kos bagi dua buku baru itu, tambahnya, dianggarkan berjumlah RM33 juta jika dibekalkan kepada semua murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 di seluruh negara.

Ketika dihubungi, Zairil memberitahu Malaysiakini beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu daripada "sumber dalaman" dan berharap kementerian boleh menjelaskannya.

Bagi buku teks tempatan, katanya, tender dijalankan setiap tahun.

Tetapi, tidak ada tender dipanggil untuk buku-buku yang diimport, dakwanya dalam satu mesej kepada Malaysiakini.

Zairil juga terus mengkritik buku-buku baru itu yang menurutnya menyalin secara borong sumber Eropah, termasuk kandungan dan konteks yang khusus bertujuan bagi pengguna di negara asalnya.

Beliau juga menyatakan bahawa"hampir setiap halaman dalam buku teks itu" merujuk kepada kandungan digital yang tidak dibekalkan dengan versi Malaysia.

Dalam erti kata lain, tambahnya, KPM telah membeli buku teks ini tanpa disertai kandungan digital, walaupun kos buku-buku itu, menurutnya, empat kali lebih tinggi daripada buku tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.