Oleh Sheridan Mahavera
KERAJAAN Selangor membentangkan Bajet 2018 yang menyasarkan penduduk
berpendapatan rendah dan menyelesaikan masalah infrastruktur dalam
bandar negeri itu, berharap untuk terus mengekalkan kuasanya dalam
pilihan raya umum akan datang yang pastinya mencabar.
Bajet negeri akan meningkatkan dana untuk skim baru dan sedia ada bagi
membantu keluarga kelas pekerja berdepan dengan tekanan peningkatan kos
sara hidup yang semakin meningkat di negara ini.
Program-program ini termasuklah skim kad perubatan, tambang bas sekolah
untuk anak-anak pekerja ladang, insuran untuk semua pesawah padi, bonus
untuk kakitangan awam dan bantuan makanan untuk wanita berpendapatan
rendah.
Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) berharap jumlah besar bantuan ini
akan meningkatkan peluangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ketika
gabungan pembangkang itu akan bertemu bukan sahaja dengan Barisan
Nasional (BN) tetapi juga sekutu lamanya, PAS- situasi yang mengikut
sejarah kata penganalisis, akan memihak kepada BN.
Dalam usaha untuk menawan semua blok undi penting, kerajaan negeri sudah
mengadakan kajian pandangan awam dalam kalangan enam juta penduduknya
bagi mengetahui apakah kebimbangan utama mereka, kata seorang pegawai
Pejabat Menteri Besar Selangor.
Kajian itu menunjukkan yang rakyat mahukan lebih banyak bantuan
kebajikan bagi membantu mereka menangani tekanan kos sara hidup tinggi
di kawasan bandar serta peluang pekerjaan yang lebih baik, kata pegawai
itu yang enggan dinamakan.
Kebimbangan itu senada dengan penemuan awal yang ditemui dalam kajian
Merdeka Center, yang menunjukkan kos sara hidup, ekonomi yang lembap dan
gaji adalah kebimbangan utama rakyat Malaysia.
“Kebimbangan penduduk Selangor tak banyak beza dengan kebimbangan rakyat negeri lain,” kata Ibrahim Suffian dari Merdeka Center.
Ini dapat menjelaskan mengapa Selangor memperuntukkan sebahagian besar
bajet, sejumlah RM187 juta untuk program-program yang boleh membantu
menambah sumber pendapatan atau meringankan beban belanja rakyat negeri
itu.
Misalnya, tahun depan kerajaan negeri akan mengambil alih sistem
pengurusan semua flat kos sederhana dan rendah di negeri itu. Ia juga
akan menghapuskan semua bayaran penilaian bagi tahun 2018.
Skim itu adalah sebahagian daripada RM1.66 juta yang diperuntukkan
Selangor dalam bajet untuk perbelanjaan pembangunan, yang membentuk
pecahan sebanyak 53.2% keseluruhan bajet berjumlah RM3.12 bilion.
Bajet Selangor dibentangkan semalam oleh Menteri Besar Azmin Ali. Parti
dalam PH- PKR, DAP dan Amanah- mempunyai 30 daripada 56 kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN).
PAS yang sebelum ini menyokong kerajaan PH mempunyai 12 kerusi, BN juga
mempunyai 12 kerusi manakala dua lagi kerusi dipegang calon bebas.
Peruntukan RM1.66 bilion itu lebih tinggi berbanding perbelanjaan pembangunan Selangor pada 2017 yang berjumlah RM1.65 bilion.
Tambahan RM50 juta, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas
Dr Xavier Jeyakumar adalah untuk membiayai program seperti Skim Kasih
Ibu Smart Selangor (KISS) yang menyasarkan wanita berpendapatan di bawah
RM2,000 sebulan.
KISS memberikan RM200 sebulan kepada wanita yang layak bagi membantu
mereka mengurangkan beban belanja makanan dan keperluan asas harian.
Skim kad perubatan “Peduli Sihat” juga dinaik taraf. Program itu yang
memberi faedah kepada 600,000 penduduk negeri itu membolehkan keluarga
berpendapatan rendah membelanjakan sehingga RM500 setahun di klinik
swasta di Selangor.
Pada 2018, ibu bapa akan boleh menggunakan kad itu untuk mendapatkan
suntikan vaksin “pneumococcal” percuma untuk anak-anak mereka. Dana
tambahan juga akan disalurkan kepada skim ini untuk pesakit jantung dan
mereka yang sudah menggunakan skim dialisis subsidi kerajaan negeri.
Program penjagaan kesihatan dijangka menelan belanja RM44.1 juta tahun depan di Selangor.
Penjawat awam dalam bajet negeri akan menerima bonus sebulan menjelang hujung tahun ini dan layak untuk skim insuran nyawa khas.
Program perumahan mampu milik, Rumahku Selangor pula akan membina lebih
20,311 unit rumah tambahan menjelang 2020, dan program sewa-dan-milik
serta program pembeli rumah pertama pula menerima RM115 juta.
Sebahagian besar bajet lagi juga diperuntukkan untuk membaiki dan
menambah baik jalan serta projek mengurangkan banjir, satu lagi
kebimbangan masalah penduduk bandar, kata Dr Jeyakumar.
Bagaimanapun, ADUN Batang Kali Mat Nadzari Ahman Dahlan dari BN
memperlekehkan bajet itu mengatakan ia hanya memberi manfaat kepada
sebahagian penduduk berbanding bajet kerajaan persekutuan.
“Peruntukan mereka untuk ketua kampung dan pegawai misalnya adalah kecil
berbanding kami. Juga tidak ada kawasan pembangunan baru yang dibuka,”
kata Mat Nadzari.
“Mereka hanya tumpu kepada tempat yang kami sudah bangunkan bila kami berkuasa dahulu,” katanya.
Walaupun peruntukan besar itu mungkin diterima baik pengundi Selangor,
antara yang paling celik politik dan berpendidikan di negara ini, PH
masih perlu berdepan dengan perpecahan dalam gabungan mereka, kata
Ibrahim dari Merdeka Center.
“Selangor ada kolam pengundi atas pagar yang besar. Ia cabaran untuk BN.
Tetapi ia juga cabaran untuk pembangkang (PH) kerana perpecahan
mereka.”
Pertandingan banyak penjuru di Selangor antara PH, PAS dan BN mungkin
mengurangkan sokongan kepada pembangkang dan membolehkan BN merampas
kuasa, kata Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.