Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
mempertahankan tindakan kerajaan negeri pimpinannya yang mengarahkan
semua jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri menghentikan
langganan akhbar kumpulan Utusan Malaysia dan Berita Harian.
Berkata dalam sidang DUN hari ini, Azmin menegaskan tindakan itu wajar
dilakukan kerana tidak ada keperluan untuk Selangor melanggan akhbar
milik Umno yang didakwanya tidak mempunyai nilai berita serta tidak
melaporkan secara telus.
Azmin malah turut memetik kenyataan bekas Editor Kumpulan New Straits
Times Press (NSTP) Mustapha Kamil Mohd Janor, yang menempelak Tan Sri
Annuar Musa dengan meminta Ketua Penerangan Umno itu bertanyakan kepada
ahli Umno terlebih dahulu mengapa mereka tidak menyokong akhbar milik
parti sendiri.
"Mustapha persoalkan sokongan ahli Umno terhadap akhbar Utusan dan
akhbar NSTP. Eloklah tanya ahli Umno dahulu kenapa mereka tak sokong
akhbar mereka sendiri.
"Kalau ahli Umno pun tak sokong utusan dan NSTP, buat apa kerajaan negeri mahu melanggan akhbar yang tak ada nilai langsung.
"Ini wang kerajaan, wang pembayar cukai...tak perlu kita langgan akhbar
yang tak ada nilai berita langsung...yang ada fitnah, putar belit,
kecaman tak berasas, sekarang ini orang Melayu tak baca utusan. Ahli
umno pun tak langgan utusan," kata ADUN Bukit Antarabangsa itu.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan ADUN Sungai
Panjang, Budiman Zohdi yang mempertikaikan ketelusan dalam menyalurkan
maklumat kepada penjawat awam negeri di sebalik tindakan kerajaan negeri
menghentikan langganan akhbar berkenaan.
Selangor pada 9 November lalu mengeluarkan pekeliling mengarahkan semua
jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri menghentikan
langganan akhbar di bawah kumpulan Utusan Malaysia dan Berita Harian
berkuat-kuasa serta-merta.
Arahan tersebut mengundang kritikan daripada pemimpin Umno, termasuk
Annuar yang menyifatkan arahan itu membuktikan Selangor tunduk kepada
pengaruh DAP, selain ia memberi gambaran yang buruk terhadap pentadbiran
Azmin.
Kenyataan Annuar itu dibidas Mustapha dengan memintanya bertanya kepada
ahli Umno dahulu mengapa mereka tidak menyokong akhbar mereka sendiri.
Sidang dewan mula kecoh apabila Budiman kemudian bangun mencelah dan
membidas Azmin sehingga menyebabkan sidang DUN kecoh seketika ekoran
petikaman lidah di antara kedua-dua pemimpin berkenaan.
Speaker, Hannah Yeoh terpaksa campur tangan bagi meleraikan
pertelingkahan berkenaan, sambil mengingatkan setiap ADUN untuk berlaku
jujur ketika bertanyakan soalan tambahan.
"Kalau tanya soalan tapi tak nak dengar jawapan, ini yang buat saya marah," katanya sambil meminta Azmin meneruskan jawapannya.
Dalam pada itu Azmin menafikan bahawa arahan sedemikian adalah cubaan
untuk menyekat penjawat awam negeri mendapat akses kepada berita atau
maklumat.
"Dalam negara yang amalkan demokrasi, saya mahu rakyat Selangor ada
akses kepada kepada ilmu yang beri pencerahan kepada mereka, tapi
pencerahan yang saya maksudkan adalah pencerahan berasaskan fakta, bukan
fitnah, budaya samseng.
"Saya tak benarkan mana-mana jabatan dan agensi kerajaan langgan akbar yang tak ada nilai berita," katanya.
Azmin juga menafikan surat pekeliling kali kedua bertarikh 9 November
itu dikeluarkan ekoran agensi dan jabatan kerajaan negeri mengingkari
surat pekeliling pertama pernah dikeluarkan 2008.
"Bukan kita tak hormati keputusan 2008, tapi kita mahu beri peluang
kepada Utusan untuk insaf," sindir beliau, sambil merujuk kepada
pekeliling pertama bertarikh 12 Jun 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.