Ketika Pakatan Harapan (PH) masih belum menerima jawapan terhadap permohonannya untuk didaftarkan dengan mempunyai sebuah lambang, 2 parti anggotanya, PPBM dan DAP masih belum lepas daripada memenuhi kehendak Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Walaupun DAP mengadakan pemilihan semula anggota pimpinan eksekutif (CEC) dalam kongres seperti yang diarahkan, ROS masih belum menerima laporan mengenainya. Maka proses yang dikehendaki oleh peraturan ROS masih belum terlaksana.
Apa yang dihadapi PPBM adalah lebih besar. Ia telah diingatkan supaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM). Jika AGM tidak diadakan, maka parti itu tidak boleh menyertai pilihan raya umum akan datang dengan kemungkinan ia boleh terbatal. Mesyuarat Agung Tergempar (EGM) yang diadakan PPBM sebelum ini tidak memadai.
Selain itu, PPBM diingatkan tidak menggunakan perkataan Armada untuk sayap pemudanya kerana ia tidak ada dalam perlembagaannya. Dalam perlembagaan parti itu, sayap itu ditulis sebagai Pemuda PPBM sedangkan mereka selama ini menggunakan nama “Armada Anak Muda Bersatu”.
Satu lagi kesalahan PPBM menurut ROS ialah parti itu menangguhkan AGM kerana ia tidak diperuntukkan dalam perlembagaannya.
Tetapi untuk mengadakan mesyuarat agung pula, perwakilannya perlu dipilih daripada cawangan dan bahagiannya. Sesuatu keadaan yang mengambil masa lama dan urusan kerja yang renyah. Malah ia mungkin tidak sempat dijalankan sebelum pilihan raya umum, jika ia tiba-tiba diadakan.
Politik lambang
Melihat PPBM dan DAP sendiri belum dapat menyelesaikan masalah mereka dengan ROS, maka harapan PH untuk didaftar dan seterusnya masuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang juga kelihatan tergugat.
Jika PH tidak dapat didaftarkan, maka parti anggotanya akan menggunakan lambang masing-masing seperti mana yang dilakukan oleh gabungan-gabungan parti pembangkang sebelum ini.
Dalam sejarah negara, hanya satu gabungan parti pembangkang yang dapat didaftarkan dan bertanding dengan menggunakan satu lambang iaitu Front Sosialis Rakyat Malaya pada tahun 1960-an dahulu.
Tetapi andai kata PPBM dan DAP tidak dapat menyelesaikan masalah mereka dengan ROS, lambang siapakah yang mereka akan gunakan?
Menjelang pilihan raya umum 2013 lalu, DAP juga menghadapi kemungkinan tidak dapat bertanding kerana masalah dengan ROS. Ketika itu PAS menawarkan diri supaya DAP menggunakan lambangnya.
Setiausaha Agung PAS ketika itu, Datuk Mustafa Ali bersedia mengeluarkan surat bagi calon DAP.
Dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggunakan lambang PKR. Pada PRU 2004, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) bertanding di bawah lambang Parti Keadilan Nasional kerana penggabungan kedua-duanya belum mendapat kelulusan ROS.
Ketika Barisan Alternatif ditubuhkan menjelang pilihan raya umum 1999, terdapat cadangan supaya parti anggota menggunakan satu lambang, iaitu salah satu lambang daripada partinya.
Maka adalah dicadangkan supaya semua parti pembangkang menggunakan lambang Keadilan. Tetapi cadangan itu ditolak oleh ahli PAS dan DAP. Ini kerana PAS dan DAP adalah parti lama yang lambang mereka sudah dikenali ramai oleh rakyat.
Keadilan yang ditubuhkan pada 1998 adalah parti baharu dan lambangnya belum dikenali. Di kalangan penyokong PAS, lambang bulan itu mempunyai hubungan emosi dengan mereka.
Tetapi untuk PAS menggunakan lambang DAP, atau DAP menggunakan lambang PAS, adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh penyokong-penyokong mereka.
Kini PAS tiada dalam PH. Kalau PPBM dan DAP tidak boleh bertanding, mereka boleh menggunakan sama ada lambang PKR atau Amanah. Tetapi Amanah adalah parti baharu yang belum pernah menyertai pilihan raya umum dan lambang mereka tidak dikenali lagi.
Maka PPBM dan DAP boleh menggunakan lambang PKR. Atau semua parti PH termasuk Amanah menggunakan lambang PKR.
Namun penggunaan lambang parti ini mempunyai percaturan dan implikasi politiknya tersendiri, baik antara parti dalam PH ataupun dengan pengundi umumnya.
Kekangan
Dalam sejarah Malaysia, penubuhan parti politik bukanlah perkara yang mudah. Pengalaman parti politik dengan ROS adalah juga berbeza. Banyak parti politik mengalami kesukaran untuk didaftarkan dengan cepat. Mereka menghadapi pelbagai masalah dengan mengambil masa yang bertahun-tahun. Tidak kurang pula yang terus tidak dapat kelulusan.
PPBM ini kira mudah dapat kelulusan. Walaupun reka bentuk lambang asalnya telah ditolak.
Bunga raya yang menjadi asas lambang asalnya terpaksa diubah suai. Bunga raya ialah lambang kebangsaan negara. Bagaimanapun MCA menggunakan lambang bintang yang serupa dengan reka bentuk pada bendera dan jata negara.
Selain itu, PPBM juga tidak dibenarkan menggunakan perkataan “Bersatu” sebagai singkatannya seperti yang dipohon. Ia hanya boleh dipanggil PPBM.
Sebelum ini, Amanah dapat mendaftar singkatan Amanah, Parti Keadilan Nasional dulu dapat mendaftar singkatan Keadilan, Parti Melayu Semangat 46 sebagai Semangat 46, Gerakan Rakyat Malaysia didaftar sebagai Gerakan, Parti Islam Se-Malaysia sebagai PAS dan Front Sosialis Rakyat Malaya sebagai Front Sosialis.
Tetapi terdapat juga parti politik yang langsung tidak berjaya mendaftarkan diri.
Pengasas parti Amanah pada asalnya hendak mendaftarkan Parti Progresif Islam. Tetapi ia ditolak kerana menggunakan perkataan Islam.
Dalam sejarah Malaysia, antara parti yang berjaya didaftarkan dengan nama Islam selain PAS ialah Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia yang juga dapat menggunakan perkataan Berjasa sebagai nama singkatannya.
Satu lagi parti ialah Ikatan Masyarakat Islam Malaysia. Parti inilah yang digunakan untuk menjadi Keadilan. Pemimpin Amanah, Khalid Samad sebelum menyertai PAS pada 1980-an dulu pernah cuba menubuhkan Parti Negara Islam Malaysia (PNIM) tetapi ditolak ROS.
Berjasa dan Hizbul Muslimin Malaysia adalah 2 parti pecahan PAS yang cepat dapat kelulusan pendaftarannya. Mereka kemudian menyertai Barisan Nasional dan menentang PAS.
Amanah dapat ditubuhkan dengan menggunakan Parti Pekerja-pekerja Malaysia (MWP). Parti ini asalnya ditubuhkan pada tahun 1978 dengan antara lain bertujuan untuk mewarisi perjuangan Parti Buruh Malaya yang dibubarkan ekoran kegagalannya mengadakan mesyuarat agung tahunan pada tahun 1969. MWP itu menggunakan sebahagian daripada lambang Parti Buruh.
Pengasas PSM pernah cuba mendapatkan MWP itu selepas pendaftaran parti mereka ditolak. Tetapi pemimpin MWP enggan menyerahkan. Akhirnya PSM dapat didaftarkan setelah bertahun-tahun masuk mahkamah.
Parti politik Melayu pertama, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada 1945 gagal didaftarkan apabila pemimpin-pemimpin utamanya ditahan oleh British di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Setelah Umno diisytiharkan haram pada 1988, usaha untuk menubuhkan Parti Umno 46 Malaysia ditolak. Sebaliknya Umno (Baru) diterima pendaftarannya walaupun ia dilakukan kemudian.
Pengasas Umno 46 kemudiannya mendaftarkan parti mereka sebagai Semangat 46. Sementara Umno (Baru) mewarisi Umno.
Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.