MEDIA arus perdana hanya boleh menyalahkan diri mereka sendiri kerana kehilangan pembaca dan kepercayaan rakyat kerana pendirian pro Barisan Nasional (BN) mereka telah memusnahkan kewibawaan mereka, kata seorang pakar media.
Internet juga menyumbang kepada situasi ini ketika semakin ramai rakyat Malaysia berhijrah kepada portal berita dalam talian dan pandangan yang selama ini dipinggirkan atau ditindas dalam akhbar, saluran telivisyen percuma dan radio.
Walaupun pengarang di saluran media arus perdana mengatakan pendirian kepengarangan mereka disebabkan wujudnya undang-undang ketat yang mengawalselia permit dan lesen mereka, pemerhati mengatakan ia bukanlah kisah penuh mengapa mereka mengambil pendirian sebegitu.
Banyak saluran media arus perdana ini diterajui oleh pengarang yang sebenarnya percaya dan menyokong perjuangan BN dan kerana itu kandungan media mereka digubah untuk menepati kepercayaan itu, kata wartawan veteran Wan Hamidi Hamid.
Walaupun media arus perdana kehilangan ramai pembaca dan semakin ramai orang mengikuti berita dalam talian, pakar media seperti Dr Mustafa Kamal Anuar bimbang yang ini mungkin menyebabkan BN mula mengawal kandungan laman sesawang- tindakan yang melanggar janji kerajaan dibuat pada 1990-an untuk tidak menapis internet.
“Nampaknya wujud kecenderungan pada kerajaan BN sekarang untuk mendaftar dan mengawal penerbitan dalam talian, tindakan (yang sekiranya berlaku) adalah tindakan menekan dilakukan mereka.
“Ia adalah idea yang salah untuk membantu kejatuhan (pembaca dan edaran) MSM (media arus perdana),” kata Mustafa dari Penang Institute.
Kejatuhan pembaca
Pada Jumaat, orang lama industri akhbar, Abdul Jalil Ali berkata pentadbiran BN kehilangan pengaruh dalam kalangan pengundi melalui akhbar utama yang dikawalnya disebabkan penuruan edaran.
Media arus perdana yang lemah dengan jumlah pembaca yang rendah adalah berita buruk kepada pakatan pemerintah apatah lagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) semakin menghampiri, kata Abdul Jalil yang merupakan penasihat eksekutif pengarah Kumpulan Media KarangKraf.
KarangKraf adalah salah sebuah penerbit terbesar majalah dan buku Bahasa Malaysia serta pemilik akhbar Sinar Harian.
Menurut data dikeluarkan Biro Audit Pengedaran Malaysia (ABC), semua akhbar arus perdana mengalami kejatuhan edaran pada 2016 berbanding 2012.
Harian Metro jatuh paling teruk iaitu sebanyak 62.5% daripada 379,169 naskah kepada 142,262. New Straits Times pula berada di kedudukan kedua kejatuhan terburuk, dengan edaran jatuh sebanyak 41.6% daripada 93,321 naskah pada penghujung tahun 2012 kepada 54,490 naskah pada hujung tahun lepas.
Akhbar media arus perdana utama berbahasa Malaysia, Utusan Malaysia dan Berita Harian pula mengalami kejatuhan edaran sebanyak 30% dalam tempoh yang sama. Tetapi, untuk berlaku adil, penurunan edaran dan kehilangan pembaca akhbar adalah fenomena berlaku di seluruh dunia, kata Wan Hamidi seorang wartawan veteran dengan pengalaman media 20 tahun.
“Selain peningkatan kos cetakan, edaran juga jatuh kerana orang lebih banyak bergantung kepada internet.”
Tetapi apa yang memburukkan lagi kejatuhan akhbar di Malaysia adalah kerana krisis kepercayaan yang semakin melebar sejak zaman reformasi, kata Prof Zaharom Nain dari Nottingham University Malaysia.
“Saya percaya, internet dan Anwar (pemenjaraan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim) memainkan peranan penting dalam mengubah persepsi rakyat kepada MSM,” kata Zaharom yang merupakan profesor dalam bidang media dan komunikasi.
Penyebaran berita internet sejak pertengahan 1990-an yang membuka ruang baru maklumat serta berita, ditambah dengan propaganda terang-terangan dilakukan MSM yang merupakan penghinaan kepada intelek ramai rakyat Malaysia menyumbang kepada kejatuhan ini.
Ruang yang semakin tertutup
Wan Hamidi berkata bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi cuba membebaskan ruang perbezaan pendapat dalam media arus perdana.
“Ada kebebasan yang diperlihatkan dalam media semasa eranya tetapi itu hanyalah kerana ia lebih terbuka berbanding zaman Dr Mahathir Mohamad.
“Tetapi di penghujung era pentadbiran Pak Lah, ia kembali kepada ‘kerajaan lebih tahu’,” kata Wan Hamidi yang pernah bekerja di NST, The Star, The Sun dan Berita Harian.
Walaupun ada pengarang kanan dan wartawan yang cuba memperjuangkang lebih kebebasan dalam akhbar, usaha ini tidak menerima sambutan, kata Wan Hamidi.
Kawalan diperketatkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak. Pentadbirannya
menyaksikan lesen percetakan untuk The Heat dan The Edge Financial Weekly digantung kerana
kandungan yang mengkritik perdana menteri dan pentadbirannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.