Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),
Kamarulazman Habibur Rahman mencabar Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul
Rahman untuk mengemukakan bukti atas dakwaannya bahawa beliau menerima
habuan daripada 'rangkaian dedak' agar keluar meninggalkan parti itu.
Sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut, Kamarulazman
berkata beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan susulan
selepas meneliti kenyataan pemimpin muda itu.
Syed Saddiq dalam sidang medianya pagi tadi mendakwa bahawa wujudnya
rangkaian dedak yang sistematik sedang digunakan untuk mempengaruhi
pemimpin kanan keluar meninggalkan parti.
Beliau juga mendedahkan bahawa tiga pengasas PPBM yang telah keluar
parti sebelum ini iaitu Kamarulazman Habibur Rahman, Anina Saaduddin dan
Datuk Hamidah Osman adalah individu yang didakwa turut menerima habuan
berkenaan.
"Kita keluar atas dasar bahawa kita tidak sehaluan dengan perjuangan
parti itu lagi, bukannya ada satu rangkaian untuk jual beli sebagainya.
Ia adalah satu prinsip perjuangan yang sebenarnya.
"Kami adalah golongan yang memegang kepada prinsip bahawa perjuangan
itu mesti tulen, jitu...bukannya perjuangan apabila mendapat jawatan,
hanya angguk dan iyakan segala kesalahan yang dilakukan pucuk pimpinan
parti," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Dalam sidang media itu juga, Syed Saddiq mendakwa beliau pernah
dihubungi oleh Kamarulazman sekitar Disember tahun lalu dengan niat yang
sama untuk 'mempengaruhinya' meninggalkan parti.
Kamarulazman bagaimanapun menafikan dakwaan itu, malah sebaliknya kata
beliau, Syed Saddiq sendiri yang mengutarakan niatnya untuk meninggalkan
PPBM selepas penubuhan parti itu berjaya dilakukan.
"Ketika penubuhan parti lagi, Syed Saddiq telah keluarkan kenyataan
pada mesyuarat penaja, selepas parti ini ditubuhkan, maka tugasnya
selesai. Dan dia tak nampak perjuangan politik parti merupakan
perjuangan yang perlu diteruskan.
"Dia sendiri nyatakan hasrat untuk mengundurkan diri dan kami pujuknya
untuk kekal. Saya tak nampak mengapa dia perlu mengatakan bahawa ada
rangkaian yang cuba memujuknya keluar. Saya sendiri tak pernah bercakap
dengan dia untuk dia keluar dari keluar. Saya cuma katakan bahawa ada
kepincangan dalam parti yang tidak sesuai dengan jiwa saya," katanya.
Kamarulazman merupakan salah seorang individu penting dalam penubuhan
PPBM, namun mengambil keputusan untuk keluar parti pada April lalu
selepas kecewa dengan amalan kronisme dan pilih kasih di dalam parti
teraju Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
Beliau juga mengumumkan peletakan kesemua jawatannya di dalam parti,
termasuk sebagai ahli majlis pemimpin tertinggi PPBM dan Setiausaha
Kerja PPBM pusat.
Turut mengikut jejak langkah beliau adalah dua pemimpin kanan parti itu, Anina Saadudin dan Datuk Hamidah Osman.
Anina merupakan salah seorang pengasas yang juga merangkap Ahli Majlis
Pimpinan Tertinggi, manakala Hamidah pula Naib Presiden. Kedua-duanya
mengumumkan keluar parti pada 16 September lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.