Isnin, 23 Oktober 2017

Tanah runtuh: Josim Rahman gali tanah dengan tangan untuk selamatkan adik

 
Josim dan adiknya datang ke Malaysia setahun lalu untuk bekerja dan mengirim wang kepada ibu bapa mereka di Bangladesh.


tanjung-landslide-1


GEORGE TOWN: Seorang pekerja warga Bangladesh, Muhammad Josim Rahman, menunjukkan kepada pemberita kesan tanah pada kuku tangannya, sambil menceritakan beliau menggali tanah dengan tangan untuk menyelamatkan adiknya yang terkambus tanah runtuh di Tanjung Bungah, Sabtu lalu.

Lelaki berusia 37 tahun itu berkata beliau ternampak adiknya, Muhammad Monirol Islam, 26, dibawa pergi oleh runtuhan tanah daripada cerun bukit yang terletak kira-kira 10 meter dari situ.

Josim berkata beliau pasti terbunuh dalam kejadian itu jika beliau tidak terpelanting dalam runtuhan itu.

“Itu tanah sepak saya. Saya mula gali dengan tangan dan memanggil-manggil nama Monirol. Saya cuba selamatkan dia tapi gagal,” katanya kepada pemberita, dengan air mata bercucuran.

“Saya masih tidak dapat terima apa yang terjadi. Mengapa Allah tak ambil nyawa saya sekali?” kata Josim kepada pemberita di tepian usaha pencarian dan menyelamat yang berakhir petang tadi.

Josim dan 2 pekerja pembinaan lain, Gearsudin Sodul Haq (Myanmar) dan Roni Fasla (Indonesia) terselamat dengan kecederaan kecil kerana hampir terkambus runtuhan sedalam 35 meter.

Josim, yang memakai kemeja dengan kesan tanah, tampak lemah dan dipujuk oleh rakan pekerja lain.

Mayat Monirol ditemui pada masa yang sama mayat warga tempatan, Yuan Kuok Wern, 27, ditemui penyelamat. Mereka merupakan mayat terakhir yang ditemui daripada 9 yang lain selepas usaha pencarian lebh 48 jam di tapak kejadian sejak pagi Sabtu.

Josim berkata beliau dan adiknya itu datang ke negara ini tahun lepas dari Dhaka untuk mencari rezeki dan menyara ibu bapa mereka.

Mereka bekerja di tapak pembinaan berbeza sehinggalah mereka bekerja di Tanjung Bungah 3 bulan lalu.

Josim juga sedih dengan pemergian penyelia mereka, Yuan, yang menurut beliau orang yang paling baik dan amat prihatin dengan kebajikan pekerja.

Sebelas orang yang terbunuh dalam kejadian itu ialah: Yunus (Bangladesh), Huseinma (Bangladesh), Rahman Abdur (Bangladesh), Md Nur Alam (Bangladesh), Mohd Monirol (Bangladesh), Mohd Elyas (Myanmar), Rahmatullah Mohd Sidiq (Myanmar), Hosrin (Indonesia), Erwin (Indonesia), Raza Ali (Pakistan) dan Yuan (Malaysia).

Kerajaan Pulau Pinang akan menubuhkan jawatnkuasa siasatan untuk menyiasat punca kejadian. Difahamkan konsulat Bangladesh di Pulau Pinang akan membantu penghantaran pulang warganya ke kampung masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.