Rabu, 25 Oktober 2017

PH nafi Belanjawan Alternatif bersifat populis

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menafikan Belanjawan Alternatif 2018 yang dibentang hari ini sebagai bajet populis bertujuan memenangi hati pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14.
 
Ketua Jawatankuasa Bajet Alternatif PH, Wong Chen mendakwa belanjawan pembangkang itu menonjolkan keupayaan mereka dalam memperbaiki negara akibat kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN).
 
"Bagaimana orang kata bajet ini bajet populis? Sedangkan ini usaha kita bagi memperbaiki keadaan negara kita. Ini bukan populis. 
 
"Ia mungkin kedengaran populis pada anda, tetapi asas ekonomi dibuat ini adalah bertujuan mengembalikan wang kepada rakyat, mengurangkan kos sara hidup, perkhidmatan pengangkutan awam yang terbaik dan sebagainya," ujarnya di sidang media selepas pelancaran Belanjawan Alternatif 2018 di luar Dewan Rakyat, hari ini.
 
PH hari ini membentangkan Belanjawan Alternatif 2018, dua hari sebelum kerajaan Barisan Nasional (BN) mengumumkan Bajet 2018 Jumaat ini.
 
Bertemakan 'Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih Harapan', pembangkang bagaimanapun masih mengitar janji lama untuk memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), cukai yang dilaksanakan kerajaan sejak 2015, bertujuan membantu golongan pengguna.
 
Belanjawan pembangkang berjumlah RM258.52 bilion itu memberi peruntukan lebih tinggi bagi pembangunan, serta defisit yang rendah jika dibandingkan Bajet 2017 yang dibentangkan Barisan Nasional (BN).
 
Belanjawan pembangkang juga berdasarkan nisbah 23:77 untuk pembangunan dan pentadbiran, berbanding BN pada tahun ini dengan nisbah 20:80.
 
Belanjawan Alternatif 2018 pembangkang itu juga merupakan sebahagian manifesto mereka mendepani PRU14 akan datang.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.