GEORGE TOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini mendesak pemaju projek
perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini
yang dilanda tanah runtuh Sabtu lepas, untuk bertemu pembeli bagi
menerangkan mengenai apa yang berlaku dan situasi semasa kepada pembeli
rumah itu.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata pihaknya memberikan masa seminggu
kepada pemaju projek, Taman Sri Bunga Sdn Bhd, untuk menyelesaikan semua
perkara berbangkit dengan pembeli.
“Kalau tidak kerajaan negeri akan campur tangan dalam kes ini bagi
pihak pembeli,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Dalam insiden Sabtu lepas, kejadian tanah runtuh di tapak projek
berkenaan meragut nyawa 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat
tempatan; empat Bangladesh; dua Indonesia; tiga Myanmar dan seorang
Pakistan apabila ditimbus tanah lereng bukit yang runtuh.
Ketika kejadian pada pukul 8.57 pagi, kesemua mereka sedang bekerja di tapak projek pembinaan rumah mampu milik itu.
Lim berharap Suruhanjaya Siasatan Pulau Pinang mengenai kejadian tanah
runtuh yang telah ditubuhkan dapat mencari punca dan menghukum mereka
yang bertanggungjawab bagi memberi keadilan kepada mangsa-mangsa yang
terlibat.
“Kami tentu akan uruskan semua dokumen perundangan supaya suruhanjaya
ini dapat diwartakan. Dalam kes ini, laporan polis pun sudah dibuat oleh
Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
“Kita serahkan kepada polis untuk jalankan siasatan serta mana-mana
pihak yang nak jalankan siasatan termasuk DOSH (Jabatan Keselamatan dan
Kesihatan) yang mentakrifkan kejadian ini sebagai kemalangan di tapak
pembinaan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar MBPP Datuk Maimunah Mohd Sharif yang turut
hadir pada sidang akhbar itu menjelaskan Jabatan Perancang Bandar dan
Desa (JPBD) tidak mempunyai halangan terhadap pembangunan projek itu di
kawasan berkenaan.
Beliau berkata dalam surat bertarikh 11 Disember 2014, JPBD memaklumkan
bahawa jabatan itu pada dasarnya tiada halangan ke atas permohonan
kebenaran untuk membina satu blok rumah pangsa mampu milik 53 tingkat
yang mengandungi dua menara 38 tingkat, podium tempat letak kenderaan 12
tingkat dan satu tingkat kemudahan masyarakat di atas sebahagian Lot
4510, Mukim 18, Lorong Lembah Permai 3, Tanjung Bungah.
“Dari segi tapak, rujuk kepada Jabatan Mineral dan Geosains mereka juga tiada halangan terhadap kemajuan projek ini.
“Sekali lagi saya ingin memaklumkan Jabatan Mineral dan Geosains yang
mempunyai tugas dari segi tanah, kuari, letupan dan sebagainya turut
tiada halangan terhadap projek ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.