GESAAN Presiden Parti
Harapan Rakyat Sabah (Harapan), Datuk Seri Lajim Ukin agar Pakatan
Harapan (PH) tidak bertanding di Sabah pada pilihan raya umum (PRU)
kelak bukanlah sesuatu yang baharu seumpamanya yang pernah kita dengar.
Bertahun-tahun lamanya kita melihat bagaimana parti-parti politik yang
berpusat di Semenanjung sememangnya menghadapi jalan yang sukar untuk
mendapatkan pengaruh di Borneo, baik di Sabah mahupun di Sarawak.
Bahkan parti terbesar negara, UMNO
sendiri pun nampaknya semakin bergelut untuk mempertahankan pengaruh
mereka di Sabah apatah lagi dengan bertambahnya bilangan parti
pembangkang di negeri itu. Selain Gabungan Sabah yang mengikat kerjasama
antara Harapan, Parti Progresif Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah
Airku (STAR) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), entiti politik
pembangkang di Sabah turut dibentuk oleh Parti Warisan Sabah (Warisan)
yang dipimpin bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal.
Sentimen Kenegerian Yang Tinggi
Meneliti iklim politik di Borneo,
tentunya ramai antara kita yang boleh bersetuju bahawa penduduk di
kedua-dua negeri baik Sabah mahupun Sarawak agak terkenal dengan
semangat kenegerian tinggi dan ia sememangnya suatu nilai yang telah
dipegang oleh mereka sejak sekian lama. Justeru, tidak hairanlah
rata-rata penduduk di kedua-dua negeri ini tidak begitu menggemari
sebarang campur tangan oleh mana-mana entiti politik luar dalam urusan
negeri-negeri mereka.
Hakikatnya, sekuat mana pun percubaan
parti-parti yang berpengkalan di Semenanjung mendekati penduduk di Sabah
dan Sarawak, keikhlasan mereka dalam berbuat demikian begitu mudah
diragui. Sudah terbiasa dengan iklim politik di Semenanjung, sebarang
usaha mereka dalam hal ini berdepan jalan sukar kerana di sana ada
hakikat yang perlu mereka akui bahawa mereka sememangnya tidak memiliki
sensitiviti yang kuat terhadap perjuangan dan tuntutan penduduk di
kedua-dua negeri itu.
Hipokrisi Perjuangan Di Sarawak
Di Sarawak misalnya, cubaan beberapa
ahli parlimen PH yang pernah mengusulkan mengenai pelupusan hak
imegresen negeri itu dilihat sebagai satu percaturan politik yang sangat
dangkal. Ia memperlihatkan tiadanya sensitiviti mereka terhadap
sentimen penduduk di negeri Bumi Kenyalang itu. Ada juga cubaan mereka
untuk bermain dengan isu autonomi yang sekian lama dituntut daripada
kerajaan pusat. Tetapi ternyata permainan sebegitu sukar membuahkan
hasil.
Sebagai sebuah entiti politik luar, isu
yang dimainkan itu hanyalah dilihat sebagai satu bentuk hipokrisi bagi
mendapatkan sokongan penduduk di Sarawak. Jika pun mereka berjaya meraih
kepercayaan penduduk, mereka mungkin sahaja mengenepikan ‘janji’
tersebut kemudiannya lantaran perhatian yang kembali teralih kepada
isu-isu di peringkat pusat. Kalau lah benar mereka serius memperjuangkan
hak Sarawak, perkara itu tentulah sudah lama tertunai sewaktu zaman
pemerintahan pengerusi mereka dahulu, Tun Dr. Mahathir. Tambahan pula,
tempoh pemerintahan beliau pada ketika itu bukanlah singkat.
PH Semakin Tak Laku Di Sabah
Berbalik kepada gesaan Lajim kepada PH,
situasi yang hampir sama kita lihat berlaku di Sabah. Kehadiran PH di
negeri itu bukan sahaja disifatkan tidak lagi relevan, bahkan isu yang
selalu diperjuangkan mereka juga nampaknya tidak laku dan tidak juga
‘dibeli’ oleh penduduk di sana. Bermain dengan isu 1MDB di sana
umpamanya merupakan pilihan dan strategi yang buruk. Malah, jika PH
memilih untuk mengutuk dan mencerca kepimpinan negara sepanjang hari
sekalipun, strategi sebegitu tetap tidak akan membawa impak yang
berkesan kepada mereka.
Sebagai sebuah negeri yang dilihat agak
perlahan pembangunannya, apa yang penduduk Sabah perlukan adalah tawaran
hebat yang mampu diberikan oleh parti-parti yang bertanding untuk
mengubah kehidupan mereka. Dipisahkan daripada Semenanjung oleh Laut
China Selatan, sentimen setempat sudah tentu berbeza. Isu yang berlegar
di Semenanjung tidak semestinya membawa kesan yang serupa di Borneo.
Dalam hal ini, penduduk Sabah lebih berfikir mengenai hal-hal setempat
yang berkait rapat dengan hak-hak mereka dalam memenuhi keperluan
seharian.
Dengan peningkatan kos sara hidup, apa
yang penting bagi mereka adalah bagaimana parti politik mampu menawarkan
peningkatan dalam pendapatan mereka, peluang pekerjaan yang lebih luas,
bekalan air bersih yang cukup, pembinaan perumahan dan kediaman untuk
golongan berpendapatan rendah selain bantuan dalam mendapatkan barangan
keperluan harian seperti beras, gula dan gas. Sabah adalah antara negeri
di Malaysia yang mencatat pendapatan bulanan isi rumah yang paling
rendah, justeru inilah antara isu yang sebenarnya dekat di hati mereka.
Di samping itu, kemiskinan juga menjadi satu faktor penting di mana
kira-kira satu per lima daripada keseluruhan isi rumah Bumiputera di
sana nampaknya masih gagal keluar daripada masalah tersebut.
Menimbang hakikat ini, penduduk di Sabah
dan Sarawak tampak akan meletakkan kepercayaan mereka terhadap
parti-parti politik tempatan, baik gabungan parti pemerintah mahupun
pembangkang, yang secara logiknya tentulah lebih memahami dan memenuhi
aspirasi mereka. Memilih untuk membenarkan pengaruh politik dari luar
untuk masuk ke kedua-dua negeri itu, apatah lagi bekerjasama dengan
mereka, hanya akan membuatkan penduduk di Sabah dan Sarawak skeptikal
dan hilang kepercayaan terhadap mana-mana parti politik tempatan yang
berkenaan.
Harapan Yang Belum Pasti
Benar, PH kini punya rentak dan pengaruh
yang tersendiri di Borneo dengan beberapa kerusi telah pun mereka
genggam pasca PRU yang lalu. Namun, dengan kewujudan beberapa entiti
pembangkang tempatan yang baharu, pendokong pembangkang di Sabah
terutamanya diyakini akan menilai semula sokongan mereka terhadap PH.
Atas pertimbangan tersebut juga, maka kita melihat gesaan Gabungan Sabah
dan Warisan agar PH tidak mencampuri urusan politik di negeri itu
walaupun pada hakikatnya kesemua mereka berkongsi matlamat yang sama
untuk menumbangkan BN.
Jalan untuk mencapai matlamat tersebut,
walau bagaimanapun, tampak tidak mudah buat mereka. Gabungan Sabah dan
Warisan sendiri umpamanya masih bercakaran sesama sendiri dengan
masing-masing saling menuduh kewujudan pihak yang satu lagi sebagai
mesra BN. Gabungan Sabah pula secara sinis menyatakan tidak mahu
mencalonkan mana-mana individu yang pernah disiasat Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada PRU kelak, sekaligus menjadi
tamparan kepada Warisan yang pemimpin tertingginya ditahan agensi itu
berikutan skandal penyelewengan wang yang diperuntukkan untuk
pembangunan luar bandar di Sabah.
Sementara itu, PH pula nampaknya terus
nekad untuk meletakkan calon mereka di kesemua kerusi di sana. Situasi
ini membayangkan pertembungan satu lawan satu antara pembangkang dengan
BN di Borneo dilihat begitu mustahil, apatah lagi ketidaksefahaman
antara mereka masih gagal ‘diuruskan’ sedangkan tarikh PRU semakin
hampir. Ketika pembangkang tampak bersemangat untuk mengintai pencapaian
terbaik mereka dalam sejarah PRU negara, cita-cita besar itu mungkin
sahaja terbantut dek kelebihan hubungan lebih harmoni yang wujud dalam
gabungan perikatan BN di sana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.