PETALING JAYA: Peluang keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian
kren runtuh di Mekah pada 2015 untuk mendapatkan pampasan mungkin
semakin tipis, selepas mahkamah di Mekah memutuskan tragedi itu kejadian
alam dan tiada ganti rugi diyyah atau pampasan perlu dibayar oleh
syarikat terbabit.
Hakim turut membebaskan 13 pekerja Kumpulan Binladen yang
bertanggungjawab dalam operasi kren gergasi di Masjidil Haram itu, yang
sedang dalam pembinaan ketika ia tumbang dalam keadaan hujan ribut pada
11 September 2015 ketika musim haji.
Menurut Saudi Gazette, mahkamah turut memutuskan pampasan tidak perlu dibayar kepada mereka yang tercedera.
Peguam Negara Arab Saudi berkata pihaknya akan merayu keputusan itu.
Seramai 108 orang terbunuh manakala 238 lain cedera ketika sebuah kren tumbang di bahagian timur kompleks Masjidil Haram.
Tujuh daripada yang terkorban adalah jemaah haji Malaysia.
Susulan itu, Raja Arab Saudi, Salman Abdulaziz mengarahkan mangsa
dibayar pampasan, iaitu sebanyak 1 juta riyal (RM1.1 juta) kepada
keluarga mangsa yang terkorban, manakala separuh daripada itu untuk
mereka yang cedera parah.
Difahamkan kes melibatkan Kumpulan Binladen tidak ada kaitan dengan arahan diraja itu.
Bagaimanapun, Mac lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam jawapannya di Dewan Rakyat membayangkan
tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan Malaysia mengenai
bayaran pampasan yang dijanjikan Raja Salman, kerana ia “hak mutlak
kerajaan Arab Saudi”.
“Tabung Haji telah menyerahkan senarai nama jemaah yang terlibat kepada
kerajaan Arab Saudi untuk tujuan pampasan. Tabung Haji sentiasa
berhubung dengan kerajaan Arab Saudi dan akan memaklumkan sekiranya
terdapat perkembangan terkini daripada pihak terbabit,” katanya
Semalam, mahkamah di Mekah dalam keputusannya berkata ia mengambil kira
semua aspek teknikal dan kejuruteraan, di samping meneliti laporan
pakar kaji cuaca.
“Kren tersebut dalam keadaan tegak, betul dan selamat. Tiada kesilapan
dilakukan oleh tertuduh yang memastikan semua langkah keselamatan
dipatuhi,” kata hakim.
Menurutnya, kren tersebut sudah berada di situ sejak 2 tahun dan mendapat kelulusan pihak berkuasa.
“Peguam Negara tidak menyerahkan bukti kukuh menunjukkan Kumpulan Binladen melanggar peraturan keselamatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.