KUALA LUMPUR: Pahang mengesahkan kedudukan mereka selaku naib juara
Liga Super musim ini walaupun seri 1-1 menentang Perak pada aksi
terakhir liga di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.
Keputusan berkenaan menyaksikan skuad Tok Gajah mengutip 42 mata
berbanding pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengutip 49 mata.
Untuk rekod, JDT berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super untuk
musim ke-4 berturut-turut lebih awal pada aksi ke-19 liga, 5 Ogos lepas.
Pada aksi di Kuantan, Pahang berjaya mendahului perlawanan menerusi
jaringan pembukaan D. Christie Jayaseelan pada minit ke-23 sebelum
Mohamad Nasir Basharudin menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada
minit ke-78.
JDT pula mencatat keputusan seri menentang Kedah pada aksi
‘praperlawanan akhir Piala Malaysia’ di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Kedua-dua pasukan bakal berentap sekali lagi pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 4 November ini.
Felda United pula menamatkan saingan di tempat ketiga setelah mengatasi PKNS FC 4-2 di Stadium Shah Alam,
Pemain import dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes muncul wira skuad
‘The Fighters’ apabila melakar jaringan hatrik pada minit ke-50, minit
ke-73 dan masa kecederaan babak kedua perlawanan serta gol daripada Zah
Rahan Krangar pada penghujung babak perlawanan.
Dua gol pasukan PKNS FC disumbangkan oleh Shahrul Azhar Ture pada minit ke-23 dan Abdou Jammeh pada minit ke-90.
Turut meraih tiga mata adalah Selangor yang mengalahkan Pulau Pinang 3-1 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
Tiga gol skuad Gergasi Merah dijaringkan oleh Andik Vermansah pada
minit ke-25, Rufino Segovia Del Burgo pada minit ke-50 dan minit ke-61
manakala pasukan tuan rumah berjaya meraih gol saguhati menerusi Muhd
Jafri Muhd Firdaus Chew pada minit ke-48.
Dalam pada itu, Kelantan terselamat daripada tersingkir ke saingan Liga
Perdana, musim depan setelah menang selesa 3-1 ke atas Melaka United di
Stadium Hang Jebat, Melaka.
Pasukan tuan rumah, bagaimanapun, mendahului perlawanan menerusi
jaringan pembukaan Nicholas Ryan Swirad pada minit ke-30 sebelum
Kelantan bangkit meraih 3 gol hasil jaringan Abou Bakr Al Mel pada minit
ke-74 dan 2 gol daripada Alessandro Padovani Celin pada minit ke-81 dan
minit ke-87.
Sarawak pula sah mengiringi Pulau Pinang ke saingan Liga Perdana, musim
depan setelah seri tanpa jaringan dengan T-Team di Stadium Negeri Petra
Jaya, Kuching.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.