JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan 21
individu termasuk tiga warga Singapura dipercayai pengikut ajaran Syiah
dalam satu serbuan di sebuah rumah dikenali sebagai Hauzah Syiah di Ulu
Tiram, dekat sini, malam tadi.
Pengarah JAINJ Amran A Rahman berkata, kesemua yang ditahan adalah lelaki berusia antara 21 hingga 67 tahun.
Serbuan itu dilakukan ketika mereka ketika sedang menghadiri satu majlis berkaitan fahaman itu.
Beliau berkata, serbuan oleh 34 anggota bahagian penguatkuasaan JAINJ
dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pukul 10.05 malam itu, turut
merampas beberapa bahan berkaitan ajaran berkenaan termasuk buku ajaran
Syiah, batu karbala dan kain rentang berunsur syiah.
“Serbuan dibuat hasil maklumat dan risikan jabatan itu bersama Cawangan
Khas PDRM selama tiga bulan. Kami percaya rumah tersebut dijadikan
hauzah Syiah kerana dilihat aktif menjalankan majlis berkaitan fahaman
itu seminggu sekali atau dua kali,” kata beliau dalam kenyataan di sini
hari ini.
Menurut Amran, ketika serbuan, kesemua mereka sedang menghadiri majlis
memperingati kematian Saidina Hussain (cucu Rasulullah SAW) yang jatuh
pada 10 Muharam setiap tahun yang mana pengikut Syiah menjadikan tarikh
itu sebagai hari untuk berkabung dan menunjukkan kesedihan.
“Sejak tahun lepas, kita sudah membuat serbuan sebanyak sua kali. Pada
serbuan kali kedua ini, 8 lelaki kita dapati telah pernah ditahan atas
kesalahan yang serupa pada serbuan kali pertama,” kata beliau.
Justeru itu, beliau berkata pemantauan akan terus diadakan pada
lokasi-lokasi yang dipercayai aktif dalam menjalankan aktiviti berkaitan
fahaman syiah dan turut dijadikan Hauzah Syiah.
Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan Seksyen 9
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 iaitu mengingkari pihak berkuasa
agama yang dinyatakan melalui fatwa dan jika sabit kesalahan boleh
didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak lebih 2 tahun atau
kedua-duanya.
Kesemua mereka dibawa ke Bahagian Penguatkuasa JAINJ untuk disoal siasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.