KUALA LUMPUR – Gara-gara pemilik DBI Technology Sdn Bhd, Boy Iman tidak hadir dalam sidang media tertutup bersama pembeli rumah suasana tegang berlaku diluar bilik sidang media di Hotel De Palma Ampang.
‘Pergaduhan mulut’ itu berlaku antara isteri Boy Iman bertegang urat dengan beberapa wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) termasuk Yusuf Azmi.
Situasi semakin panas selepas sekumpulan wakil PPIM yang mahu mengikuti sidang media anjuran syarikat Boy Iman atau nama sebenarnya Datuk Norul Iman Abd Rahman dihalang.
DBI hari ini mengadakan sidang media tertutup dengan tajuk ‘Atas Nama Kebenaran’ untuk memberikan pencerahan terhadap kemelut melibatkan aduan orang ramai berhubung rumah mereka yang tidak siap walaupun sudah membayar puluhan ribu ringgit.
Namun keadaan menjadi kecoh apabila seorang akauntan DBI yang berada di luar dewan tidak membenarkan wakil PPIM masuk.
Kebetulan isteri Boy Iman, Ida Anas ketika itu berada di luar dewan.
Itu punca keadaan menjadi tegang selepas seorang aktivis PPIM bertanya kepada Ida mengapa mereka tidak dibenarkan masuk dan mempersoalkan mengapa Boy Iman tidak hadir dalam sidang media yang sama.
“Mungkin kita boleh tanya isteri Boy Iman mengenai modus operandi yang dijalankan oleh DBI ini,” soal Yusuf kepada Ida namun Ida membalas dan mendakwa tidak mengetahui urusan perniagaan suaminya.
“Saya tidak tahu apa-apa, saya tidak masuk campur dalam hal ini,” balasnya.
Situasi bertambah panas apabila Ida mendakwa wakil PPIM membuat tuduhan tidak berasas dengan mengatakan Boy Iman membatalkan pertemuan Jumaat lalu kerana mahu membawa beliau pergi membeli belah.
“Awak tukar cerita kata dia (Boy Iman) tak dapat jumpa kerana nak bawa saya shopping,” dakwa Ida yang menyebabkan ketakpuashatian wakil PPIM yang hadir.
Yusuf bagaimanapun membidas Ida supaya tidak berbohong dan mempersoalkan status dalam akaun Instragramnya yang menunjukkan beliau dan Boy Iman ada membeli belah.
“You sendiri post dalam Instagram pergi shopping, post itu baharu,” kata Yusuf.
Ida kemudiaan mencabar Yusuf supaya tidak membuat kecoh sebaliknya mengemukakan laporan polis jika benar syarikat suaminya itu ada melakukan penipuan membabitkan rumah yang ditawarkan oleh DBI.
Dalam pada itu, peguam PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim menafikan mahu mencetuskan provokasi sebaliknya hanya mahu menuntut penjelasan mengenai rumah yang dibina oleh DBI itu.
“Niat kita datang hari ini tidak lain adalah untuk mencari kebenaran, kita nak bertanya. Saya jangka hari ini, saya datang hari ini dapat berjumpa dengan kontraktor dia, saya dapat jumpa dengan QS (juruukur bahan) dia dan akan beri penjelasan atau laporan ini adalah kiraan kita harga yang kita boleh buat berdasarkan bahan kita miliki.
“Sebab kita tidak faham macam mana contohnya, seorang kena bayar RM50,000, dibayar pula komisen kepada ejen jualan, harga bahan berapa kos, kos buruh berapa, margin untung berapa?
“Ini soalan kita nak tanya hari ini bukan nak buat provokasi,” kata Hishamuddin.
Hishamuddin juga menggesa supaya tindakan dan siasatan segera diambil oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa kepada skim perumahan yang indah dari khabar itu sahaja.
Skim penipuan yang dikendalikan oleh Boy Iman terbongkar selepas sebuah laman popular di Facebook, PW Community menyiarkan dakwaan DBI menipu orang ramai dengan menggunakan helah menerusi skim piramid.
DBI Technology merupakan syarikat yang ditubuhkan Boy Iman selepas meninggalkan DBI Properties, syarikat yang pernah menjadi ejen pemasaran kepada pemaju yang disyaki bertanggungjawab menawarkan banglo berharga 60,000 seunit.
Boy Iman bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Malahan, Boy Iman juga membuat laporan polis ke atas pengendali Facebook PW Community dan media yang didakwa memfitnah dan menyebabkan syarikatnya rugi.
Satu pertemuan juga diadakan antara mangsa-mangsa yang ditipu Boy Iman sehingga tercetus kekecohan apabila beliau gagal menjawab setiap persoalan ditimbulkan oleh pelabur berhubung janji syarikatnya untuk membina rumah. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.