Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] Ahli
Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar memang wajar melakukan sujud
syukurnya kerana PAS jelas tidak mahu mencalonkannya bertanding dalam
pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kelak.
"Saya sujud syukur kerana tidak dicalonkan sebagai calon PAS pada
pilihan raya akan datang. Malah, sebaliknya kalau dicalonkan pun pasti
saya akan menolak.
"Bila dah diberitahu saya tidak dicalonkan maka saya sujud syukur yang
teramat sangat kerana saya tidak mahu dilihat menjadi calon yang
akhirnya mengkhianati negara dan rakyat.
“Saya tidak mahu menjadi calon yang mewakili PAS yang tidak dilihat (bersungguh) untuk mengambil alih negara," katanya.
Mahfuz
berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk
Mohd Amar Nik Abdullah yang mengesahkan PAS tidak akan mencalonkannya
lagi mewakili parti itu dalam PRU akan datang.
Malah beliau memberi peringatan kepada Mahfuz supaya keluar PAS
berikutan tindak tanduknya yang cenderung menyokong Pakatan Harapan (PH)
yang diketuai DAP.
Mohd Amar berkata, selain Mahfuz, mana-mana pemimpin PAS lain yang
secara terbuka menentang parti turut tidak akan dicalonkan dalam PRU14.
“Saya beritahu terus terang, Mahfuz tidak akan bertanding lagi. Mereka
yang menentang PAS tidak akan dicalonkan lagi. Itu pendirian kita. Kita
akan ganti dengan calon yang lebih baik menggantikannya (Mahfuz) di
Pokok Sena,” katanya.
Mahfuz ajak ahli PAS menjadi sepertinya
Sabtu lalu Mahfuz bersama tiga lagi ADUN PAS iaitu Datuk Amiruddin
Hamzah (Anak Bukit), Mohd Nasir Mustapa (Kubang Rotan) dan Dr Syed Azman
Syed Nawawi (Batu Burok) menghadiri Konvensyen Nasional 2017 Amanah di
Alor Setar, Kedah.
Penyertaan
mereka dilihat sebagai satu “provokasi” terhadap pemimpin dan penyokong
PAS yang menganggap parti Amanah sebagai “seteru politik” PAS kerana
secara terbuka mengisytiharkan mahu “mahu menggantikan PAS” dalam
persada politik Malaysia.
Malah Mahfuz menjelaskan bahawa tindakan mereka yang “kurang wala” pada
pemikiran dan halatuju kepimpinan PAS itu, adalah untuk menggalakkan
ahli-ahli PAS “tidak perlu keluar PAS bagi menyatakan sokongan kepada
Pakatan Harapan (PH)”.
Yang menjadi persoalannya, jika keempat-empat wakil rakyat yang
memenangi kerusi mereka dalam PRU ke 13 lalu melalui tiket PAS kini
berasa sudah mendapat “petunjuk” bahawa PAS bukan parti sesuai untuk
mereka, mengapa masih perlu bernaung dalam PAS?
Mereka ingkar pada halatuju PAS dan sebaliknya meraikan seteru politik
PAS seraya menghasut pula ahli PAS supaya menyokong PH. Sudah tentu ini
satu kepetualangan perjuangan yang nyata.
Adakah tindakan mereka di Alor Setar Sabtu lalu sebenarnya cabaran
terhadap kepimpinan PAS dengan memperli apakah tindakan yang PAS boleh
ambil terhadap mereka?
Mahfuz dan rakan tidak gerun dosa pahala?
Selain itu gelagat mereka juga mencerminkan niat menghina kepimpinan
PAS seolah-olah mahu mempersendakan ideologi politik matang dan
sejahtera PAS! Jika mereka jujur dan bermaruah, lebih elok isytihar diri
keluar PAS.
Jika ini bukan melambangkan insan-insan yang kurang prinsip perjuangan,
apakah namanya? Mereka menikam PAS dari belakang bak musuh dalam
selimut.
Jika benar mereka pejuang Islam, sepatutnya mereka gerun rezeki dan
kedudukan sebagai wakil rakyat PAS yang mereka nikmati sejak Mei 2013,
adalah garis dosa bagi mereka.
PAS tidak makan “umpan provokasi” wakil-wakil rakyat yang tidak
bersyukur ini. Sebab itu PAS segera mengisytiharkan “musuh-musuh” ini
tidak akan dipilih sebagai calon PAS lagi.
Maka
timbul persoalan: Jika ada parti lain dari PH, tidak kira PKR, Amanah
atau DAP ingin mencalonkan Mahfuz dan kawan-kawannya itu bertanding PRU
14, bersediakah mereka menerimanya?
Jawapan ini perlu diumumkan segera seperti keterbukaan PAS mengumumkan mereka tidak mungkin menjadi calon parti itu lagi.
Sejak parti Amanah ditubuhkan dua tahun lalu, keempat-empat
“pemberontak” ini menyorok dalam saf PAS. Tiba masanya mereka
mempamerkan kelelakian masing-masing.
Justeru, tidak hairanlah mereka ini dicap sebagai “pengkhianat”.
Menurut pemimpin-pemimpin Amanah parti mereka memang ditubuhkan untuk
menggantikan PAS, maka hipokritlah Mahfuz dan kawan-kawannya masih
berteduh dan mencari nafkah dari menjadi “wakil rakyat PAS” tetapi
bergerak ‘untuk mengkuburkan’ PAS.
Munculnya Mahfuz dan kawan-kawannya di konvensyen Amanah 2017 adalah
bak menyertai pesta kurang bergemerlapan. Selepas dua tahun ditubuhkan
Amanah masih payah berdikari dan bergantung pada pengerusi PH, Tun Dr
Mahathir Mahathir untuk melambai sokongan.
Gelagat pemimpin-pemimpin Amanah juga kurang berhasil menarik sokongan
kerana masih bergelumang dalam retorik politik tanpa inisiatif
membentangkan syor bagaimana mahu mendaulatkan Islam dan memelihara
kepentingan Melayu.
Mereka
hanya mengekori omong PKR dan PPBM yang memang masih merengek terlepas
peluang mahu berkuasa. PKR masih jengkel kehilangan pemimpin agung
mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara.
Walhal yang memulakan kezaliman ke atas Anwar ialah orang yang kini
ghairah mahu menumbangkan perdana menteri yang amat dicemburuinya
“kerana tidak mahu akur pada hemah dan kebijaksanaannya memerintah
negara”.
Mahfuz dan kawan-kawan “perisiknya” tidak perlu berpura lagi. Mereka
bukan sayang pada PAS malah mendedaki diri dengan kesumat mahu
menghancurkan PAS. Rakyat memerhati.
Pilihan mereka ialah di antara PAS yang zuhud mahu Islam mekar di bumi
ini dan bukan mahu terus mencari nama dan kuasa berbanding Mahfuz dan
rakan komplotnya yang hanya mahu berkuasa di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.