KUALA LUMPUR: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan, Tan Sri Noh Omar memaklumkan hanya 80 daripada 1,238 pusat
tahfiz di seluruh negara yang menerima kelulusan bangunan daripada
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Menurut Noh, daripada jumlah itu, 73 merupakan pusat tahfiz yang
berdaftar dengan majlis agama atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(Jakim) manakala tujuh lagi tidak berdaftar dengan mana-mana pihak.
Jelas beliau, daripada 1,238 pusat tahfiz itu pula, sebanyak 252 telah
dikenal pasti tidak mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.
Noh memberitahu, angka tersebut diperolehi hasil pemeriksaan jabatan
itu terhadap semua pusat tahfiz di seluruh negara sama ada berdaftar
dengan majlis agama, Jakim atau tidak berdaftar dari 26 September hingga
17 Oktober lalu.
“Daripada jumlah itu, 169 pusat tahfiz adalah berdaftar dengan majlis
agama atau Jakim manakala 83 lagi tidak berdaftar dengan mana-mana
pihak.
“Berikutan itu, sebanyak 367 notis bahaya kebakaran telah dikeluarkan
kepada 83 pusat tahfiz. Tempoh antara 90 ke 180 hari telah diberikan
kepada pusat tahfiz terlibat untuk mematuhi piawaian ditetapkan,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian, di Dewan Rakyat hari ini.
Hee sebelum itu bertanya kepada Noh mengenai usaha kerajaan memastikan
keselamatan bangunan pusat tahfiz selepas insiden kebakaran di ibu
negara baru-baru ini.
Dalam kebakaran pada 14 September lalu, seramai 23 pelajar dan guru
Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, maut selepas
terperangkap di tingkap tiga bangunan itu, yang berpunca daripada
perbuatan khianat sekumpulan remaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.