IPOH: Dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengalami
kecederaan ketika ditahan di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan
membuat laporan polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata dua anggota tersebut
yang masing-masing berumur 30 tahun cedera di bahagian abdomen dan kini
dirawat di Hospital Manjung.
"Laporan polis dibuat hari ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen
325/506 Kanun Keseksaan. Pihak polis sedang menjalankan siasatan sama
ada insiden ini berlaku ketika di dalam bilik tahanan, ketika dikurung
atau di luar.
"Kita juga akan menyiasat sekiranya ada lagi anggota TLDM terlibat
dengan insiden seperti ini," katanya kepada pemberita ketika menghadiri
Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri di sini hari ini.
Mengenai kematian dua anggota TLDM di bilik tahanan yang sama sebelum
ini, Hasnan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan forensik
terhadap kamera litar tertutup yang telah dirampas.
"Jabatan Siasatan Jenayah Perak kini dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman bagi menyiasat insiden ini," katanya.
Jumaat lalu dua anggota TLDM iaitu LK 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat,
28, dan LK 1 TLS Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia
di bilik tahanan tersebut dipercayai akibat didera, berdasarkan laporan
bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Bedah siasat yang dilakukan ke atas Nik Muhammad Baihaqy mendapati
kematiannya disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul
manakala Muhammad Lailatuliman meninggal akibat pendarahan paru-paru
serta trauma tumpul pada tisu lembut.
Susulan itu tiga anggota TLDM direman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.