MALAYSIAKINI
Galakan kerajaan untuk memberi cuti lanjutan bersalin kepada sektor swasta mampu memberi impak positif khususnya terhadap produktiviti pekerja.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, penambahan cuti bersalin kepada 90 hari seperti dilaksanakan perkhidmatan awam merupakan keperluan kepada golongan berkenaan.
"Cuti 90 hari itu cukup dialu-alukan, bagi saya sekiranya wanita itu belum pulih sepenuhnya dan sudah kembali bekerja prestasi mereka juga tidak cukup bagus atas faktor kesihatan.
"Setuju mahupun tidak, perkara ini sudah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2018, semalam, maka ia perlu dilaksanakan," katanya seperti dilapor BH Online.
Rohani berkata demikian selepas merasmikan karnival 'Women Fest Malaysia' (WFM) 2017 di Pusat Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Bandar Malaysia (MATRADE), hari ini.
Karnival terbabit yang berlangsung selama dua hari berkonsepkan pasar tempatan bertujuan untuk memberi galakan kepada usahawan wanita membina rangkaian dan memperluaskan pasaran perniagaan.
Ia juga diadakan sempena bulan kesedaran kanser payudara.
Sementara itu, Rohani turut menegaskan cuti berkenaan adalah hak wanita yang wajar diberi tanpa kompromi.
"Ini adalah hak wanita sebagai pekerja di dalam sesebuah syarikat. Mereka berhak untuk mendapatkan cuti bersalin dan waktu kerja anjal.
"Di negara luar ada yang membenarkan pekerja wanita mereka untuk bercuti selama lima tahun.
"Selepas tempoh cuti itu saya yakin mereka akan lebih bersemangat untuk menyambung tugas di pejabat dan bersifat produktif," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.