Ahad, 22 Oktober 2017

Banjir Sabah: Jumlah mangsa meningkat kepada 2,368

ANTARAPOS

Post Pic


KOTA KINABALU: Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Sabah semakin meningkat apabila seramai 2,368 orang ditempatkan di sepuluh pusat pemindahan sementara setakat ini berbanding 2,313 sebelum ini.

Menurut Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, sehingga pukul 11 pagi ini daerah Kota Belud mencatatkan bilangan mangsa banjir tertinggi iaitu 2,132 orang daripada 704 keluarga berbanding 2,089 orang daripada 323 buah keluarga, semalam, lapor Utusan Online.

Kesemua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir iaitu Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Said, SMK Taun Gusi 1, Dewan Masyarakat Tun Said, SMK Taun Gusi 2, Dewan Gopog Taginambut, Muhibah Tombol, Dewan SK Pekan dan Dewan SK Taun Gusi.

Sementara itu, di Tuaran pula jumlah mangsa banjir bertambah sebanyak 12 orang menjadikan kesemuanya 236 orang berbanding 224 mangsa dari 58 buah kampung.

“APM akan terus memantau keadaan banjir di dua daerah tersebut termasuk kecemasan lain yang mungkin berlaku di beberapa kawasan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini pagi ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika melawat mangsa banjir di Kota Belud semalam memberi jaminan kerajaan akan menyediakan setiap keperluan mangsa dengan cukup.

Beliau juga meminta mangsa agar bersabar kerana agensi keselamatan yang ditugaskan juga berdepan dengan kesukaran dalam menghantar bantuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.