Jumaat, 29 September 2017

Tian Chua dipenjara sebulan selepas tarik rayuan

 
Latheefa Koya yang turut mewakili Tian Chua berkata, kedudukan naib presiden PKR itu sebagai ahli Parlimen Batu tidak terjejas.


tinchua3


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengarahkan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menjalani hukuman penjara sebulan, selepas dia membuat keputusan mengejut dengan menarik balik rayuan terhadap sabitan melanggar arahan polis untuk meninggalkan Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada 2012.

Panel 3 hakim yang dipengerusikan Datuk Mohtaruddin Baki memerintahkan naib presiden PKR terbabit memulakan hukuman penjaranya di Penjara Kajang, hari ini.

Tian Chua disabitkan bersalah di bawah Akta Kawasan dan Tempat Larangan 1959 kerana menolak arahan meninggalkan Kompleks Pulapol di Jalan Semarak pada 29 April 2012, sehari selepas dia ditahan dalam perhimpunan Bersih 3 di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Tian Chua turut melucutkan peguamnya, N Surendran dan menyuarakan kesediaannya untuk dipenjarakan.

“Saya tidak didakwa kerana mengambil bahagian di dalam satu perhimpunan haram. Dakwaan terhadap saya adalah berkaitan kehadiran saya di Pulapol, di mana saya ditahan pada hari tersebut.

“Saya didakwa melakukan kesalahan menceroboh ‘kawasan larangan’ iaitu Pulapol. Dengan penuh hormat, saya ingin memaklumkan mahkamah ini saya menarik balik rayuan saya,” katanya.

Sebelum diiringi keluar dari mahkamah oleh polis, dia sempat bersalaman dengan pemimpin PKR lain dan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui terkejut dengan keputusan Tian Chua.

“Saya semalam sudah tanya apakah keputusan yang akan beliau buat hari ini, tetapi dia enggan beritahu,” katanya.

Sementara itu, Latheefa Koya yang juga salah seorang peguam Tian Chua ketika ditemui di luar mahkamah berkata, kedudukan Tian Chua sebagai ahli Parlimen tidak terjejas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.