SHAH ALAM: Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki
berkata sebarang tawaran elaun perjalanan bagi menarik perhatian
pengundi untuk pulang mengundi di kampung halaman masing-masing dianggap
sebagai rasuah.
Ujarnya, dari segi undang-undang, menawarkan sebarang bentuk dorongan
kepada pengundi, sama ada wang tunai atau hadiah, adalah rasuah.
"Contohnya jika seorang pengundi ditawarkan elaun untuk balik mengundi,
atau membayar RM50 supaya dia mengundi calon tertentu," katanya kepada
Sin Chew Daily dalam satu temubual.
Azam bagaimanapun menjelaskan bahawa janji pilihan raya (manifesto) tidak dianggap rasuah.
Beliau juga berkata jika seseorang ahli politik menawarkan bantuan
seperti beras atau derma kepada golongan miskin, ia turut tidak dianggap
rasuah.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) SPRM telah mengingatkan semua
calon dan parti politik bahawa sesiapa yang didapati terlbabit dengan
rasuah akan hilang kelayakan.
Azam berkata sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh
pilihan raya umum, satu pasukan penguatkuasa undang-undang yang terdiri
daripada pegawai SPRM dan polis akan ditubuhkan untuk memantau aktiviti
rasuah dalam pilihan raya.
"Sekiranya pasukan itu menerima laporan daripada orang awam, kes-kes
seperti itu akan disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya, Akta
Pencegahan Rasuah dan Kanun Keseksaan," katanya.
Azam juga berkata SPRM tidak berhasrat untuk membuat pindaan
undang-undang untuk mewajibkan semua calon mengisytiharkan aset mereka.
"Terpulang kepada parti sama ada mereka mahu calon mereka mengisytiharkan aset," katanya.
Azam berkata adalah perkara biasa bagi parti-parti politik untuk
mengemukakan senarai calon mereka kepada SPRM dan polis untuk
pemeriksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.