Rabu, 27 September 2017

Tanpa perjanjian pun, Umno dan PAS boleh kerjasama, kata Annuar Musa

 
Ketua penerangan Umno itu berkata kedua-dua parti Melayu itu boleh mencari titik persamaan pada bila-bila masa.


Annuar-pas-umno

PETALING JAYA: Umno dan PAS tidak memerlukan perjanjian rasmi seperti memorandum persefahaman untuk bekerjasama dalam politik, sebaliknya kedua-dua parti itu boleh bekerjasama membangunkan Kelantan, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, sebagai parti Melayu, Umno dan PAS mempunyai matlamat yang sama namun berbeza pendapat mengenai cara dan kaedahnya.

“Tidak perlu ada perjanjian formal antara PAS dan Umno dalam mencari titik persamaan, bila-bila masa titik persamaan itu boleh bertemu, malah Umno dan PAS tidak perlu bergabung dalam satu parti, tetapi boleh bersama dan mencari ruang kebersamaan.

“Bagi pendapat saya, PAS tidak perlu masuk Umno, Umno tidak perlu masuk PAS, tapi mereka boleh bekerjasama majukan Kelantan,” katanya ketika wawancara secara langsung menerusi laman Facebook milik Berita Harian, hari ini.

Annuar berkata kerjasama PAS dan Umno akan menguntungkan orang Melayu.

“Majunya Kelantan, majulah orang Melayu,” kata pemimpin Umno dari Kelantan itu.

Menurutnya, sikap PAS yang istiqamah dalam perjuangan mereka memusnahkan ancaman politik daripada DAP.

“PAS tidak mahu bersekongkol apabila DAP cuba mengawal parti pembangkang dan menggunakan parti politik Melayu untuk memecah belahkan orang Melayu,” katanya.

Beliau memberikan perbandingan peranan Umno dalam BN dengan peranan DAP dalam Pakatan Harapan (PH).

“Barisan Nasional (BN) diketuai Umno dan pembangkang diketuai DAP, sebagai sebuah parti lama DAP mengawal parti-parti kecil ini.

“Parti lain hanyalah serpihan dan tidak mempunyai DNA mereka sendiri, hanya terikut-ikut seperti parti asal mereka,” kata Annuar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.