Khamis, 28 September 2017

SPRM dicabar teliti bakal calon pilihan raya yang terbabit dalam isu 1MDB



SPRM dicabar teliti bakal calon  pilihan raya yang terbabit dalam isu 1MDB



Sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh mencadangkan mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB tidak dicalonkan dalam pilihan raya akan datang, DAP sedia membenarkan calon-calonnya juga diteliti.

Demikian reaksi Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang terhadap tawaran Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad untuk meneliti calon-calon parti politik dalam Pilihanraya Umum ke-14.

Dzulkifli dilaporkan berkata pada Selasa bahawa pihaknya bersedia untuk meneliti bakal-bakal calon supaya tidak dicemari rasuah dan salahguna kuasa.

Malah menurut beliau, hanya Barisan Nasional (BN) sahaja yang menyerahkan nama-nama calonnya untuk diteliti SPRM.

Kit Siang bagaimanapun tidak teruja dengan hal tersebut, memandangkan katanya suruhanjaya terbabit berhadapan skandal 1MDB yang masih belum selesai.

“Skandal 1MDB adalah ujian bagi SPRM dan Dzukifli bagi menunjukkan sama ada mereka benar-benar serius, bebas, tidak memihak dan profesional dalam membanteras rasuah.

“Atau sebaliknya sekadar ‘makhluk’ yang digunakan oleh pihak yang memegang kuasa untuk menutup rasuah dan kleptokrasi mereka,” ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam kenyataannya semalam seperti dilapor Roketkini.

Pemimpin veteran DAP itu malah mempersoal sekiranya SPRM bersedia untuk membuka semua siasatan terhadap 1MDB, berikutan skala skandal tersebut yang kian membelon.

Skandal 1MDB adalah yang terbesar dalam sejarah negara melibatkan aset-aset yang sedang disiasat Jabatan Kehakiman Amerika di beberapa negara termasuk UK dan Switzerland berjumlah US$1.7 bilion.

“Selagi SPRM tidak menangani skandal 1MDB, ia tidak akan menikmati keyakinan dan kepercayaan rakyat Malaysia,” tegas Kit Siang lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.