Ahad, 24 September 2017
Soalan wartawan asing tentang politik semasa
PAKATAN pembangkang utama dikatakan sedang mengalami genjotan, kata wartawan asing yang menghubungi penulis baru-baru ini.
Faktor kepulangan bekas menteri besar Selangor Muhammad Muhammad Taib ke pangkuan Umno, suasana diperkukuh dengan latar kadar inflasi kian baik serta momentum pertumbuhan ekonomi yang baik di Malaysia dilihat sebagai kelebihan bagi Umno.
Namun wartawan tersebut masih tertanya-tanya sejauh manakah perkembangan ini boleh menggalakkan Perdana Menteri Najib Razak mengadakan pilihan raya umum sebelum akhir tahun.
Sebenarnya kepulangan Mat Taib ke pangkuan Umno tidak berupaya memberikan impak besar kepada Umno. Malah menjadi kritikan rakyat dan pembangkang sebagai “surat khabar lama” yang tak membawa apa-apa kesan positif kepada imej Umno.
Melainkanlah jika ketiga-tiga tokoh seperti Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin atau Shafie Apdal kembali ke pangkuan Umno, barulah memberikan impak yang besar kepada keutuhan Umno.
Kadar inflasi beberapa bulan lepas rendah, iaitu sekitar 3.2%, namun kadar inflasi dijangka naik hingga 3.5% pada bulan ke depan.
Momentum pertumbuhan ekonomi memang baik akan tetapi persepsi yang dibina oleh pembangkang seolah-olah negara ke ambang sebuah negara yang gagal dan ini berupaya mengikis keyakinan pelabur.
Bila PRU14?
Najib boleh saja mengadakan pilihan raya umum sebelum akhir tahun, namun masalahnya komponen Barisan Nasional (BN) tidak lagi bersedia sepenuhnya. Begitu juga komponen pembangkang, iaitu Pakatan Harapan (PH) masih lagi di persimpangan dilema sama ada bekerjasama dengan PAS untuk menumbangkan BN atau PH terus bersendirian berdepan BN yang dijangka menyukarkan kemenangan PH pada pilihan raya umum akan datang.
Bulan terawal pilihan raya boleh diadakan pada November. Namun pada November ramai rakyat Malaysia akan bercuti sama ada di dalam atau luar negara kerana cuti sekolah. Hujung tahun juga dikaitkan dengan monsun dan banjir, tempoh yang tidak menggalakkan bagi kerajaan memanggil pilihan raya pada masa itu. Manakala Bajet 2018 hanya akan dibentangkan akhir Oktober.
Melalui Bajet 2018, kemungkinan BN akan dapat memberikan impak berganda termasuk melalui pengumuman bonus sekurang-kurangnya sebulan untuk penjawat awam. Banyak inisiatif untuk rakyat dan projek pembangunan untuk 2018 juga akan diumumkan bagi menarik lebih banyak sokongan pengundi.
Bajet pula perlu dibahaskan sebelum diluluskan oleh ahli Parlimen. Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung dari 23 Oktober hingga 30 November. Dewan Negara, pula akan berlangsung dari 4 November hingga 19 Disember. Berdasarkan hal ini, tidak mungkin akan diadakan pada Oktober, apalagi November dan Disember.
Pada 5 hingga 9 Disember pula akan diadakan Perhimpunan Agung Umno, selepas itu sambutan Krismas dan persediaan tahun baru.
Dahagakan kemenangan besar
Najib pula mahukan kemenangan besar dalam PRU akan datang dan bukan sekadar majoriti mudah. Hal ini kerana keputusan kekal atau prestasi menurun bakal menyebabkan kedudukannya sebagai PM akan menjadi goyah.
Sehingga kini Najib berupaya menangani musuh politik sama ada dalam dan luar parti. Persepsi terhadap PM dan Amerika Syarikat berjaya diruntuhkan melalui kunjungan ke Rumah Putih – sekurang-kurangnya untuk pengundi konservatif.
Namun bukan tidak pernah PRU diadakan pada November walaupun di luar konvensyen. Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bertindak bertentangan dengan konvensyen apabila membubarkan Parlimen pada 1999 sejurus selepas bajet dibentangkan, menyebabkan PRU diadakan pada November tahun tersebut.
Memang jarang pilihan raya umum diadakan pada November namun pernah diadakan pada 1999. Ketika itu, Dr Mahathir membuktikan tindakannya memilih November adalah betul dengan BN masih dapat menguasai majoriti 2/3 walaupun kalah banyak kerusi majoriti Melayu.
Bagi penulis, masa terbaik PM untuk mengadakan pilihan raya umum ialah Mac atau April 2018. Tempoh tiga bulan terakhir 2017 amat wajar digunakan untuk memfokuskan kerusi BN yang menang majoriti tipis.
Hakikatnya, terdapat 33 kerusi parlimen BN berisiko tinggi dan dengan hanya sedikit peralihan undi, calon bertanding, kempen dan strategi, PH boleh memenangi kerusi tersebut.
Kecualilah PAS dan Umno bekerjasama secara rasmi maka pilihan raya November akan dapat diadakan dengan lebih yakin oleh BN. Namun kerjasama ini pasti sukar dipersetujui oleh komponen BN yang lain seperti MCA dan MIC. BN Sabah dan Sarawak sehingga kini tidak dapat menerima ideologi politik PAS. Buktinya, PAS tak pernah menang di Sabah dan Sarawak sehingga kini.
Sekiranya PRU diadakan pada penghujung 2017 ia tetap kurang memberikan kelebihan kepada BN khususnya selepas lawatan ke Amerika menjadi kritikan rakyat di media sosial. Begitu juga sidang media khas yang diadakan PWTC mengenai kembalinya Mat Taib dianggap tak perlu kerana tidak ada kesan. Malah ada yang menyarankan cukuplah sekadar membuat kenyataan akhbar saja.
Selain itu, persepsi tentang ekonomi dan realiti pertumbuhan ekonomi dua perkara yang berbeza. Sentimen ekonomi yang dirasai oleh rakyat dilihat kurang memihak kepada BN, namun faktor tersebut sentiasa akan menjadi “modal terbesar” pembangkang tanpa mengira bila PRU14 akan diadakan.
Siapa calon PM?
Ada juga pertanyaan oleh wartawan asing itu mengenai kemungkinan dan implikasi Anwar Ibrahim diberikan keampunan diraja atau sebaliknya, serta calon paling layak untuk perdana menteri dari PH.
Penulis menyatakan Yang di-Pertuan Agong ialah kuasa tertinggi, bebas dan adil. Keampunan diraja adalah hak mutlak Agong memutuskan apabila tiba masa yang sesuai.
Namun jika Anwar tidak menerima keampunan ini, antara calon yang layak termasuklah Azmin Ali, Wan Azizah Wan Ismail dan Muhyiddin. Dr Mahathir pula lebih sesuai sebagai perdana menteri interim.
Apa pun, yang penting calon tersebut diterima baik oleh komponen PH dan rakyat Malaysia. Itu pun jika PH menang PRU. Sekarang lebih wajar elakkan kontroversi yang tak perlu, sebaliknya memikirkan strategi dan polisi untuk menang terlebih dulu.
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Detikdaily
* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.