KUALA LUMPUR: Tiada sebarang permit yang akan dikeluarkan pihak polis
kepada pesta makanan dan minuman Jerman yang dijadual berlangsung di
sebuah pasar raya di Klang pada 12 dan 13 Okt ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mazelan Paijan berkata festival yang
dinamakan Centro German F&B Party itu turut menyediakan minuman
keras atau arak.
Katanya polis menerima arahan supaya menyekat sebarang penganjuran pesta arak.
“Pihak saya tidak membenarkan seperti arahan yang dikeluarkan Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini supaya
polis memastikan tiada sebarang pesta arak dianjurkan," katanya seperti
yang dilaporkan sebuah agensi portal berita.
Sehingga kini juga kata Mazelan polis belum menerima sebarang surat permohonan daripada penganjur.
Sekiranya ada pihak mendakwa sudah mendapat kelulusan, katanya, itu adalah surat kebenaran palsu.
Semalam, Naib Pengerusi DAP Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata
pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan
untuk membuat keputusan mengikut peraturan serta undang-undang sedia ada
berhubung pesta arak atau minuman keras di negeri ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian
& Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana dan Pengangkutan,
bagaimanapun berkata kerajaan negeri secara dasarnya menghormati proses
demokrasi dan menghormati hak setiap rakyat Selangor tanpa mengira kaum
dan agama.
Sebelum ini, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dilapor meluluskan
penganjuran pesta makanan dan minuman itu tetapi perlu mematuhi beberapa
syarat, termasuk melarang kemasukan orang Islam ke kawasan penganjuran
acara selain perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.