Rabu, 27 September 2017

PKR sahkan peletakan jawatan William Leong

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan William Leong meletak jawatan sebagai ahli Biro Politik.
 
Sebelum ini Wan Azizah dilaporkan tidak menerima surat peletakan jawatan Leong pada Ogos lalu.
 
“William Leong sudah letak jawatan, itu jawatan lantikan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sidang media Pakatan Harapan (PH) di ibu pejabat PKR, tengah hari tadi.
 
William yang juga Ahli Parlimen Selayang meletakan jawatan sebagai membantah langkah PKR meneruskan perbincangan untuk bekerjasama dengan PAS.
 
Bagaimanapun jawatannya sebagai ahli Majlis Tertinggi (MPT) PKR kekal tanpa apa-apa perubahan.
 
Sementara itu Wan Azizah yang juga Presiden PH enggan mengulas lanjut dakwaan bahawa suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahum bakal menyertai semula parti lamanya, Umno.
 
“Itu dah berlalu,” katanya ringkas.
 
Baru-baru ini sebuah portal melaporkan Anwar, yang juga Ketua Umum PH dan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menyertai semula Umno.
 
Dakwaan itu memetik PAS sebagai berkata tiada keperluan lagi bagi parti itu mengadakan kerjasama dengan PKR dan PPBM kerana akhirnya kedua-dua pemimpin itu akan kembali kepada parti lamanya. 
 
Malah PAS, menerusi pimpinannya sering menyebut kesukaran kerjasama itu kepada penyokong partinya malah menyifatkan PH tidak akan kemana.
 
Bukan itu sahaja parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu juga mendakwa Anwar akan mengambil langkah serupa seperti Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, memandangkan Anwar, Muhammad dan Datuk Seri Najib Razak dalam satu kumpulan yang sama dinamakan ‘Kumpulan Wawasan’ suatu ketika dahulu.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.