Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
PUTRAJAYA: Akta 164 atau Akta Perkahwinan Dan Perceraian perlu dipinda
bagi mengelakkan ia dipergunakan oleh mana-mana pihak yang tidak
bertanggungjawab, kata Ketua Pegawai Eksekutif IKSIM, Datuk Mahamad
Naser Disa.
Ujarnya, Akta 164 buat masa ini hanya memberikan ruang untuk pasangan
yang tidak memeluk islam memfailkan petisyen bagi membubarkan
perkahwinan sivil dengan bekas pasangannya yang memeluk agama islam.
Ini bermakna mana-mana mualaf tidak boleh pergi ke Mahkamah Sivil dan
memohon untuk membubarkan perkahwinan sivilnya yang terdahulu
sehinggalah bekas pasangannya berbuat demikian, ujarnya.
Ramai melihat ia sebagai kekangan kepada mualaf tetapi ada juga yang
melihat ia sebagai satu peluang, kata Naser sambil merujuk kes seorang
peguam hindu mempergunakan akta itu untuk membolehkannya berkahwin dua.
"Seorang peguam hindu di Johor Bahru, peluk agama islam kerana dia mahu
berkahwin satu lagi dengan perempuan kristian Iban di Sarawak. Lelaki
Hindu itu sudah berkeluarga. Undang-undang perkahwinan menyatakan mereka
tidak boleh berpoligami. Undang-undang mereka monogami. Tapi mereka nak
kahwin juga. Jadi mereka memeluk agama islam.
"Yang lelaki memeluk islam, yang perempuan Iban itu juga memeluk agama
Islam. Tapi dia tak putuskan perkahwinan sivilnya. Yang si isteri hindu
itu pun tidak memutuskan perkahwinan sivilnya. Jadi dia kahwin secara
syariah tapi dia tetap balik pada isteri dia yang beragama hindu," kata
Naser kepada Antarapos dalam temubual eksklusif baru-baru ini.
Menceritakan dengan lebih lanjut, Naser berkata peguam Hindu itu
bersikap lepas tangan dan meletakkan kesalahannya memiliki dua isteri
yang melanggar syarak, disebabkan kelemahan Akta 164.
"Tak boleh kahwin macam itu, ia menyalahi hukum syarak. Tapi dia boleh
pertahan dirinya dengan alasan, saya (peguam Hindu) tak boleh pergi ke
Mahkamah Sivil. Isteri saya tidak failkan petisyen untuk perceraian.
Maka saya masih ada tanggungjawab (ke atas isteri Hindunya). Maka dia
pun balik (ke rumah isteri Hindu seperti biasa)," kata Naser.
"Ini kelemahan kita kalau kita tak pinda Akta 164 yang meletakkan
kewajipan kepadanya untuk membubarkan perkahwinan sivilnya. Dia
mempermainkan ruang dan peluang dari segi hukum syarak.
"Tapi masalahnya bila dia meninggal isteri hindu menuntut jenazah
mengatakan dia tak amalkan acra hidup islam. Dia masih dengan cara hidup
hindu. Isteri Iban pun cakap mereka tak amalkan gaya hidup islam atau
kristian," katanya.
Justeru amat perlu Akta 164 dipinda bagi membolehkan mualaf ke Mahkamah
Sivil dan membubarkan perkahwinan terdahulunya dan tidak semata-mata
berharap bekas pasangannya untuk memfailkan petisyen perceraian.
"Kita tak nak orang menggunakan islam sebagai satu helah untuk mereka
untuk mereka hidup secara berpoligami tetapi mereka tidak ikut
perundangan dan cara hidup islam," katanya lagi.
Parlimen pada 9 Ogos lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 164 selepas dibahaskan lebih empat jam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.