Isnin, 25 September 2017

Pesawat bawa kenamaan tergelincir ketika mendarat

ANTARAPOS

Post Pic


KUCHING: Sebuah pesawat eksekutif jenis Beechcraft King Air membawa kenamaan dilaporkan tergelincir dari landasan sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 6 petang membabitkan pesawat milik Hornbill Skyways dari Mukah itu dipercayai berpunca akibat permukaan landasan yang licin susulan hujan lebat.

Sumber memberitahu BH, ketika kejadian, pesawat berkenaan membawa dua anak kapal, seorang petugas teknikal bersama empat penumpang, termasuk Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Bagaimanapun, semua anak kapal dan penumpang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, kecuali terkejut.

"Kejadian antara landasan A1 dan A2 itu menyebabkan kawasan terbabit terpaksa ditutup bagi kerja-kerja mengalihkan pesawat.

"Berikutan itu, semua penerbangan masuk ke LTAK terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Sibu," katanya.

Sementara itu, Fatimah gagal dihubungi bagi mengulas insiden berkenaan, manakala pegawai khasnya enggan memberikan sebarang kenyataan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.