Sabtu, 2 September 2017

Kita serumpun bukan seperti ultra kiasu Singapura

ISMA WEB


 

HAMPIR mengalir air mata apabila melihat kumpulan sukarelawan Indonesia membawa sepanduk berbunyi Malaysia-Indonesia bersaudara, Malaysia Love Indonesia, Malaysia # Kita Serumpun, Indonesia # Kita Serumpun, # Kita Serumpun, # Bangkit Bersama, # Kita Bersaudara, Salam Damai Malindo, Lahir Malaysia, Asal Indonesia, hasil insiden bendera Indonesia terbalik dalam buku aturcara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 atau KL17.

Inilah semangat yang perlu ada dalam setiap diri kita. Tidak perlu dipanjangkan lagi. Kesilapan ini bukan disengajakan. Lagipun awal-awal lagi Malaysia telah mengemukakan permohonan maaf. Saya tidak fikir Malaysia sengaja mencetak bendera terbalik sedemikian. Apa yang kita dapat? Menyusahkan lagi ada.

Saya amat mengharapkan tidak wujud sifat ultra kiasu antara kita sesama serumpun, dengan tidak menolak bahawa perlu ada sifat kiasu untuk bersaing secara sihat. Bawalah berbincang. Jangan memperbesarkan perkara kecil.

Jangan jadi seperti atlet renang Singapura. Belum apa-apa lagi sudah mengeluarkan kata-kata sinis untuk ‘mengajar’ perenang Malaysia ketika perlumbaan berlangsung KL17. Mentang-mentanglah mereka kuat dalam acara tersebut. Inilah sifat ultra kiasu yang perlu dihindarkan. Ingat! Allah Maha Kuat.

Saya yakin ibunya yang kini menetap di Ipoh, Perak, mungkin telah menasihatkan beliau supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang bongkak, sehingga beliau mengeluarkan kenyataan memohon maaf selepas itu. Lagipun kita serumpun. Buatlah seperti tindakan sukarelawan Indonesia yang saya sebut di atas.

Sebenarnya, saya sudah muak dengan gelagat rakyat Singapura ultra kiasu yang tidak sedar diri, bahawa asal-usul mereka bermula di sini. Apatah lagi melihat aksi meloyakan mereka yang cukup berdisiplin ketika berada di negara mereka. Tetapi, apabila sampai ke Malaysia, sering berkelakuan biadab di atas jalan raya dan tidak menghormati pengguna lain.

Antara perbuatan mereka adalah memandu melebihi had kelajuan maksimum, membuang sampah dari kenderaan, tidak menghiraukan undang-undang trafik dan sebagainya. Menurut The Straits Times, Singapura, terdapat sebanyak 275,663 saman yang tertunggak dari tahun 2010 ke 2016. Sebahagian besar saman yang dikeluarkan, iaitu sejumlah 184,014 adalah saman yang dikenakan ke atas rakyat ultra kiasu Singapura.

Terdapat 3,423 waran tangkap bagi rakyat negara itu untuk tempoh yang sama. Operasi sedang dijalankan oleh pihak polis untuk mereka membayar saman yang telah dikeluarkan.

Isu ini bukanlah isu baharu. Perangai ultra kiasu rakyat Singapura ini sudah lama. Mereka sengaja mencabar kesabaran kita. Jika di negara mereka, meludah biji tembikai keluar pun mereka tidak berani. Apabila berada di Malaysia, perangai dan tabiat mereka bertukar menjadi sebaliknya.

Sifat negara maju apakah ini? Ternyata, mereka ini sangat pandai berpura-pura. Saya amat mengharapkan polis kita mengambil tindakan tegas terhadap mereka. Sama seperti isu, Pulau Batu Putih yang telah menjadi ‘hak’ mereka hari ini. Sesiapa sahaja, termasuk nelayan yang mendekati pulau tersebut untuk mencari rezeki, akan dihalau. Mereka sedang merangka strategi untuk merangka kawasan perairan berasaskan berapa batu nautika mengikut standard antarabangsa. 

Meskipun saya tidak dibenarkan masuk ke sana lagi, itu tidak menghalang untuk saya terus menulis perkara yang benar. Saya akan terus melondehkan sifat ultra kiasunya. Apatah lagi ura-ura untuk melantik Melayu Singapura (wanita) menjadi Presidennya. Bergantung kepada pemilihan yang akan dilakukan.

Selama ini, selepas Almarhum Yusof Ishak dilantik menjadi presiden yang pertama, kenapa tidak ada Melayu dilantik selepas itu. Hanya ada nama-nama seperti, Benjamin Henry Sheare, Devan Nair, Wee Kim Wee, Ong Teng Cheong, Sellapan Ramanathan dan Dr Tony Tan Keng Yam.

Kenapa baru sekarang terfikir untuk melantik Melayu sebagai Presiden? Bukankah Singapura berasal usul daripada sistem kenegaraan Melayu? Murah sungguh maruah kita jika boleh dibeli dengan jawatan.

Apakah Singapura akan berpresidenkan orang Melayu selepas setelah sekian lama dipinggirkan? Jika itulah yang akan berlaku apakah itu bermakna Singapura sudah menunjukkan keterbukaannya dengan perlantikan bagi menunjukkan bahawa nasib Melayu telah terbela? Saya harapkan Melayu Singapura tidak mudah ‘dibeli’ dengan jawatan.

Pada masa sama, saya juga berharap kita dapat membaca buku yang ditulis oleh Dr Lily Zubaidah; The Singapore Dilemma: The Political and Educational Marginality of the Malay Community, dan Singapore in the Malay World: Building and Breaching Regional Bridges. 

Lily Zubaidah adalah rakyat Melayu Singapura yang dihalau keluar daripada Singapura oleh pemimpin Singapura. Beliau telah dibuang negara kerana lantang mengkritik kerajaan Singapura (PAP). Beliau kini adalah pensyarah di Universiti Sydney, Australia.

Jika kerajaan Singapura bersikap terbuka sudah tentu, mereka bersedia memberi dan menerima Dr Lily Zubaidah seadanya. Hakikatnya tidak berlaku.

Untuk makluman, Dr Lily Zubaidah adalah anak kepada Abdul Rahim Ishak (1925-2001). Bapa beliau pernah menjadi Menteri Pendidikan Singapura (1965-1968), Menteri Luar Negeri Singapura (1968-1972) dan Duta Besar Singapura ke Indonesia (1974-1977). Bapa saudara beliau adalah Yusof Ishak (1910-1970), iaitu Presiden Melayu pertama Singapura (1965 hingga 1970).

Apakah kita sudah lupa, orang Melayu Singapura dinafikan suara mereka untuk mengetengahkan hak mereka dalam media utama. Ini tidak termasuk larangan memakai tudung terhadap pelajar Muslim yang ingin memakai tudung ke sekolah. Tindakan akan dikenakan terhadap mereka yang menentang arahan ini. 

Begitu juga dengan kedudukan bahasa Melayu yang dianggap sebagai ‘low class’. Jangan haraplah orang bukan Melayu bercakap dalam bahasa Melayu. Nasib baiklah percubaan untuk mengubah lagu kebangsaan mereka ‘Majulah Singapura’ dan command perbarisan tentera masih belum berjaya. Kebanyakan yang menyanyi lagu ‘Majulah Singapura’ bukan mereka faham pun bahasa Melayu. Hafal sahaja.

Ramai dalam kalangan rakyat mereka tidak menyanyikan lagu kebangsaan apabila ia sedang dimainkan ketika majlis rasmi. Ini tidak termasuk, banyak nama jalan dalam bahasa Melayu yang telah ditukar kepada bahasa Inggeris dan Mandarin. Perkataan ‘Lorong’ telah dinamakan semula sebagai ‘Avenue’, ‘Rise’, ‘Drive’ dan ‘View’.

Pendek kata, apa jua perkara berkaitan dengan identiti Melayu semakin dicairkan. Kuasa pengundi Melayu Singapura telah dicairkan secara sistematik dengan skim penempatan semula bandar pada tahun 1960-an dan 1970-an, pengenalan kuota perumahan dan sistem kumpulan perwakilan undi (A Group Representation Constituency – GRC).

Retorik multi-rasisme digunakan untuk memastikan masyarakat Melayu yang secara tradisinya menyokong parti-parti pembangkang tidak mempunyai kuasa penentu dalam setiap kawasan pilihan raya di sana.

Menurut Dr Lily Zubaidah lagi, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun dan angkatan tentera kebanyakannya pegawai kanannya dibolot oleh orang Cina.

Misalnya, dalam sekor pertahanan dan keselamatan, daripada 70 pegawai yang paling kanan tentera (berpangkat kolonel dan ke atas), hanya satu orang bukan Cina. Perangkaan tahun 1999. Nyata sekali Melayu disisihkan sama sekali. Berbanding dengan Malaysia, berapa ramai orang bukan Melayu diberi kepercayaan memegang jawatan tinggi dalam GLC.

Juga termasuk sektor pertahanan dan keselematan. Ramai yang berkhidmat dalam sebagai polis dan tentera dilantik menjawat jawatan agak tinggi. Itupun mereka menuduh memingkirkan orang Cina. Sedang penguasaan ekonomi mereka melebihi 70 peratus.

Cuba kita imbau kembali, pernahkah orang Melayu diberi kepercayaan untuk memegang jawatan kanan dalam Kabinet seperti Menteri Pertahanan, Kewangan, Perdagangan, Industri, Kementerian Luar Negara atau Kementerian Pendidikan. Begitu juga jawatan strategik penjawat awam seperti Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis, Ketua Imigresen, Ketua Hakim dan sebagainya.

Sebab itu tidak perlulah berlakon hebat. Jika diteliti sejarah Kabinet kerajaan Singapura, orang Melayu hanya diberikan jawatan yang kurang penting seperti Menteri Hal Ehwal Sosial, Pembangunan Masyarakat, Sukan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Islam. 

Sekurang-kurang kita lebih terbuka di Malaysia, banyak jawatan tinggi kerajaan telah dikongsikan kepada bukan Melayu. Banyak lagi sifat ultra kiasu yang boleh dibongkarkan seperti diperkatakan oleh Dr Lily Zubaidah. Cukup setakat ini dahulu.

Apa yang penting kita perlu kenal siapa musuh siapa sahabat, yang mana serumpun yang mana tidak. Insiden dan kenyataan atlet Singapura itu sudah cukup memberikan pengajaran kepada kita, mestipun telah ditarik balik dan permohonan maaf dikemukakan.

Saya yakin kata-kata Malaysia-Indonesia bersaudara, Malaysia Love Indonesia, Malaysia # Kita Serumpun, Indonesia # Kita Serumpun, # Kita Serumpun, # Bangkit Bersama, # Kita Bersaudara, Salam Damai Malindo, Lahir Malaysia, Asal Indonesia, akan menggerunkan ultra kiasu sekiranya benar-benar direalisasikan.

Fikir-fikirkanlah wahai saudaraku rakyat Malaysia berbilang kaum ini. Saya tidak pernah rasis kepada bangsa saya. Saya adalah saya yang seadakan sampai bila-bila. Itulah yang Allah anugerahkan. Saya hanya mahukan kita memahami sejarah dan hakikat sebenar negara ini.

*Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL) ,Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.