Jumaat, 29 September 2017

Anina enggan rendahkan mentaliti jawab dakwaan 'tidak ada duit'

Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saaduddin tidak akan sesekali menjawab isu 'tiada duit' yang dilemparkan Tan Sri Muhyiddin Yassin kepadanya.
 
Anina berkata beliau tidak akan sesekali merendahkan mentalitinya sepertimana Presiden PPBM itu yang mengheret isu peribadi untuk menyerangnya.
 
Anina sebaik sahaja keluar daripada PPBM menyatakan hasratnya untuk mengajak Muhyiddin berdebat bersabit parti itu dalam apa jua isu, namun belum pun surat rasmi dihantar bekas Timbalan Perdana Menteri itu melatah dan menuduhnya sebagai tiada 'locus standi'.
 
"Saya tidak akan melayan perkara yang saya fikir bukan taraf bekas timbalan perdana menteri, untuk berkata-kata. Saya tidak mahu meletakkan diri saya serendah itu.
 
"Dia tak jawab soalan saya mengenai 'locus standi' sebaliknya mengheret kepada isu peribadi kononnya Anina tak ada duit. Itu bukan taraf seorang bekas Timbalan Perdana Menteri untuk menjawab pelawaan saya.
 
"Sebagai seorang ahli politik yang ada nama besar, yang ada pengalaman 40 tahun dalam pentadbiran negara, tak kan itu mentalitinya. Takkan begitu cara Tan Sri jawab soalan saya? Saya fikir dia pun tidak suka jika sesiapa pun bertanyakan soalan peribadi kepada dia," ujarnya ketika ditemubual secara eksklusif Antarapos.
 
Anina berkata sehingga kini beliau menunggu Muhyiddin menjawab apakah 'locus standi' yang dimaksudkannya bersabit pelawaan debatnya itu.
 
"Dimana perbezaan taraf antara saya dengan dia? Saya fikir saya sama taraf sahaja dengan dia. Bezanya dia adalah elitis dan saya adalah marhaen. Dia presiden parti dan saya ketua srikandi yang dipecat. Saya adalah pengasas PPBM. Jadi 'locus standi' apa yang dia maksudkan?
 
"Kenapa ada jurang antara presiden yang belum lagi pun berkuasa - parti kecil yang baru setahun jagung usianya. Kenapa perlu dia nak pertahankan 'status qou' dia sebagai TPM?," tegas Anina.
 
Anina berkata beliau tidak pelik jika ada ahli atau mana-mana bahagian dalam PPBM berkecil hati dengan layanan Muhyiddin yang padanya tidak menghargai perit jerih mereka sebelum hingga tertubuhnya PPBM.
 
"Jika saya yang sudah berjuang dari awal dengan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir (Mohamad), sebelum dia (Muhyiddin) masuk PPBM - pun saya dilayan sebegini, saya tidak terkejut jika ada orang lain juga tidak senang hati dilayan presiden parti.  
 
"Jika anda (Muhyiddin) tidak membela saya, bagaimana anda hendak menjaga nasib 32 juta rakyat Malaysia," katanya.
 
Anina sebelum memutuskan untuk keluar PPBM ditohmah dengan pelbagai dakwaan, namun kepimpinan parti tidak membelanya sama ada mengenai fitnah skandal seks, dakwaan menerima 'dedak' RM7 juta daripada Umno selain digugurkan jawatan ketua srikandi dengan cara memalukan.
 
Beliau berkata alasan yang diberikan PPBM atas pelucutan jawatan itu adalah Anina memalukan parti dengan skandal seks itu namun tidak pula memecat bekas pensyarah itu daripada menduduki kerusi ahli majlis tertinggi.
 
Selepas sembilan bulan membuat pertimbangan, Anina kemudiannya mengumumkan untuk keluar parti, minggu lalu.
 
"Keputusan saya untuk keluar daripada parti adalah keputusan saya sendiri. Tiada siapa pun yang pernah mempengaruhi saya. Saya tidak buat keputusan dalam masa dua hari, dua minggu atau dua bulan tapi sembilan bulan. 
 
"Saya pertimbang dan saya kaji semasak-masaknya. Saya lihat daripada semua sudut barulah saya buat keputusan. Keputusan saya adalah tepat bagi saya," katanya sambil tersenyum.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.