Keadaan semasa PKR memberi peluang cerah untuk BN rampas kembali Selangor daripada pembangkang, kata seorang ahli MT Umno
PUTRAJAYA: Seorang pimpinan Umno berkata perbezaan pandangan pimpinan PKR berhubung kerjasama dengan PAS memberi peluang yang cerah untuk Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata walaupun Umno sebenarnya tidak perlu bergantung kepada kelemahan dalam pembangkang, parti Melayu itu gembira melihat keadaan semasa PKR.
“(PKR) berpecah, pecahlah. Memang kita seronok. Harapan kita lebih cerah untuk pilihan raya umum akan datang.
“Biar dia orang berpecah lagi. Semua dalam (PKR) semua keras kepala, tunjuk pandai.
“Rafizi (Ramli) tunjuk pandai, (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali ingat dia hebat. Tak ada satu kepala nak pimpin kerajaan kalau pemimpin tidak bersatu padu,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau mengulas kenyataan berbeza-beza pimpinan PKR berhubung isu kerjasama dengan PAS.
Beberapa pemimpin PKR dilapor mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan PAS yang menurut Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin turut direstui ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Biro Politik parti itu.
Sabtu lalu, Azmin mendakwa rundingannya dengan PAS mendapat mandat parti, selepas timbul spekulasi PKR cuba mengadakan perjanjian berasingan dengan parti Islam itu bagi memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN pada PRU14.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution pada Isnin menafikan parti itu berbincang dengan PAS, sebaliknya rundingan pembahagian kerusi hanya membabitkan parti komponen PH.
Rabu lalu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong meletak jawatan dalam Biro Politik PKR, badan tertinggi yang memutuskan hala tuju parti itu, kerana tidak bersetuju partinya berunding dengan PAS.
Ia selepas Azmin bersama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menemui Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, 3 minggu lalu.
Mengulas lanjut, Tajuddin berkata Umno harus memperkuatkan jentera parti dan memberi penjelasan kepada pengundi terutama di Selangor bahawa pembangkang “gagal memerintah” selepas 2 penggal di negeri itu.
Katanya, pada masa ini, tidak ada apa yang boleh dibanggakan di Selangor.
“BN lebih baik memerintah sebab kita yang majukan Selangor dulu masa BN memerintah.
“Perpecahan pembangkang memberi peluang cerah BN untuk rampas balik hak kita di Selangor,” katanya.
Tajuddin berkata, BN tidak bertelagah sesama sendiri.
“Dalam BN pelbagai parti ada, tetapi soal kepimpinan, seorang sahaja jadi ketua. Tidak boleh ada 2 atau 3 ketua,” katanya.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.