Isnin, 24 Julai 2017

TN50: Sasaran ekuiti Bumiputera 30 peratus pun tidak tercapai

ARIF ATAN

Anuar Tahir ketika merasmikan Konvensyen Pemuda AMANAH Selangor di Bangi semalam


Gagasan Transformasi 2050 (TN50) dibimbangi hanya mengulang kegagalan dasar kerajaan Umno-BN sebelum ini seperti dapat dilihat pada pencapaian sasaran 30 peratus bagi pegangan ekuiti Bumiputera.

Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata, TN50 tidak lebih sekadar 'memancing' pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan pelbagai janji manis ketika pada masa sama gejala korupsi dan ketirisan berskala mega masih terus berleluasa.

"Rakyat tidak harus lupa dengan berbilion duit negara yang masuk ke kocek dan akaun pemimpin Umno-BN berserta kroninya daripada skandal 1MDB sehingga isu Scorpene yang sedang disiasat di Perancis," ujarnya.

Beliau diminta mengulas tentang TN50 yang melibatkan dialog Perdana Menteri dengan pelbagai segmen masyarakat didahului golongan muda di Universiti Malaya (UM) pada 19 Januari lalu.

"Mari kita imbas sejarah, kita sudah dijanjikan dengan pelbagai perkara. Slogan BN Janji Ditepati pun sekarang ke mana perginya?

"Janji untuk mengangkat kedudukan penyertaan Bumiputera untuk memegang ekuiti 30 peratus misalnya sudah dijanjikan sejak hari pertama DEB (Dasar Ekonomi Baru) dilancarkan kerajaan BN.

"Sampai hari ini tidak tercapai. Apa lagi TN50 dan rakyat masih sanggup sabar menanti untuk tempoh 30 tahun akan datang?" bidasnya ketika ditemui selepas perasmian Konvensyen Pemuda Amanah Selangor di Bangi kelmarin.

Untuk rekod, pegangan ekuiti bumiputera dalam pasaran modal pada 2011 hanya mencapai 22 peratus berbanding sasaran kerajaan sebanyak 30 peratus.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, sejak pentadbiran Najib Razak pelbagai keputusan tidak memihak kepada kepentingan rakyat termasuk pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta penarikan subsidi bagi sejumlah barangan makanan.

"Apa janji rejim Najib yang ditepati sekarang? GST!? Hal yang tidak terjangkau di fikiran rakyat sebelum ini yang tiba-tiba datang.

"Kalau rakyat masih lagi terperdaya dengan helah BN menjelang PRU14 ini, saya bimbang bukan mereka sahaja bahkan keseluruhan rakyat akan kecewa dengan beban dan penindasan yang lebih berat selepas ini," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pakatan Harapan dengan barisan kepimpinan terdiri daripada pelbagai latar belakang akan memastikan keterlibatan rakyat dalam sebarang polisi yang akan dilaksanakan.

"Kita menekankan penyertaan dan suara rakyat. Dulu pun Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggagaskan keterlibatan rakyat dalam polisi yang sedang dirangka. Tunggu masa beliau keluar penjara. Dia ikhlas datang dari hati.

"Tidak sama dengan mereka yang hanya mahu mempertahankan kuasa walau guna apa cara sekalipun. Jadi, peluang di tangan rakyat untuk berubah kepada Pakatan Harapan.

"PRU14 yang dianggap ibu segala pilihan raya ini wajar dimanfaatkan pengundi jika tidak mahu menangis kesal untuk tempoh lima tahun lagi," tambahnya lagi.

Najib sebelum ini dilapor berkata, dasar jangka panjang TN50 menggunakan pendekatan berpaksikan akar umbi atau bottom-up dan dirangka berdasarkan aspirasi generasi muda hari ini. Presiden Umno itu mahu TN50 menjadi kesinambungan kepada dasar 30 tahun terdahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.