KUANTAN: Empat cedera selepas dihempap serpihan tembok akibat tangki
air pecah di bumbung Kompleks Teruntum, pada jam 1 tengah hari, hari
ini.
Insiden itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya tiga buah kereta dan
sepuluh motosikal yang diletakkan di ruang letak kenderaan berhampiran
kompleks tersebut rosak akibat dihempap serpihan tembok.
Dalam pada itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Datuk Abdul
Wahab Mat Yassin berkata, susulan insiden itu, semua premis perniagaan
dan pejabat kerajaan di Kompleks Teruntum di sini diarah menghentikan
operasi serta-merta.
Ujarnya, keputusan itu dibuat atas faktor keselamatan kerana bimbang
kejadian serupa berulang selepas meninjau kerosakan struktur kompleks
yang terletak di Jalan Mahkota-Seri Kuantan di sini.
“Arahan penutupan membabitkan premis perniagaan dan pejabat kerana kita
dimaklumkan kejadian ini menyebabkan bekalan air serta sistem pendingin
hawa di Kompleks Teruntum tidak berfungsi.
“Tempoh penutupan operasi akan ditentukan kemudian selepas melakukan
pemeriksaan lanjut bersama Jabatan Kerja Raya Pahang dan pihak
pengurusan bangunan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Difahamkan kali terakhir pihak pengurusan kompleks berkenaan menukar tangki air itu ialah kira-kira 15 tahun lalu.
Kompleks itu dibuka pada Januari 1980 dan mempunyai 21 tingkat dengan 3
daripadanya dikhususnya sebagai premis perniagaan manakala selebihnya
adalah ruang pejabat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.