Khamis, 27 Julai 2017

PH adalah 'parti ketiga', bukan PAS - Sallehen

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS bukan 'parti ketiga' atau 'serpihan' lantaran ia mendapat sokongan besar daripada undi teras yang datangnya daripada pengundi Melayu.
 
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Sallehen Mukhyi berkata, Pakatan Harapan (PH) yang sebenarnya merupakan 'parti ketiga' kerana gabungan itu masih belum membuktikan mereka mampu mengatasi PAS dari segi sokongan pengundi Melayu. 
 
"PAS bukan bersendirian, PAS punyai gabungan dan rakan lain dalam Gagasan Sejahtera. 
 
"Soal ke arah dua parti itu saya bersetuju tapi soalnya apakah PH yang dikatakan sebagai parti yang kedua dalam sistem dua parti, apakah ia mendapat sokongan rakyat mengatasi sokongan rakyat kepada PAS," katanya kepada Antarapos.
 
Semalam, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani ketika dalam Wacana Sinar: Pakatan Harapan vs Barisan Nasional berpandangan, PAS tidak akan mampu menjadi penentu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak.
 
Ini kerana menurut Azizuddin, suasana politik negara ini menjurus ke arah sistem dua parti, justeru adalah sukar untuk parti ketiga mendapat laluan.
 
Sebaliknya kata Azizuddin, PAS hanya akan menjejaskan undi kepada PH.
 
Mengulas pandangan berkenaan lebih lanjut, Sallehen yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, mana-mana pandangan perlu disertakan dengan asas dan fakta kajian, antaranya berkaitan sokongan pengundi kepada sesebuah parti.
 
"Kalau mereka nak mengatakan bahawa sistem dua parti dengan PAS terlihat sebagai 'serpihan', itu pandangan mereka.
 
"Sebagai penganalisis, mereka kena tunjukkan kepada kita figure yang betul tentang satu kajian umpamanya berkaitan sokongan orang Melayu.
 
"Soalnya apakah PH boleh menang tanpa PAS umpamanya," kata beliau.  
 
Tambah ADUN Sabak itu juga, gabungan empat parti yang membentuk PH bukanlah ukuran untuk meletakkan mereka sebagai 'parti kedua' dalam sistem dua parti.
 
"Kalau dikata sebagai gabungan tetapi tidak mempunyai sokongan yang padu, apatah lagi dalam suasana yang mereka sendiri tak boleh tunjukkan komitemen kesepaduan antara parti, bagi saya itu tak boleh mengukur bahawa ia mempunyai satu gabungan kuat sebagai parti kedua," kata Sallehen.
 
Dalam perkembangan berasingan, Sallehen menegaskan PAS tidak akan menyertai PH bagi menghadapi Umno-BN pada PRU14.
 
Mengulas 'harapan' Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mahu PAS bekerjasama dengan PH, jawab Sallehen, PAS teguh bersama Gagasan Sejahtera yang diasaskan bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN). 
 
Dalam nada sinis, Sallehen sebaliknya meminta bekas naib presiden PAS itu menyertai PH jika benar-benar cenderung dengan perjuangan gabungan berkenaan.
 
"Kalau mahu, elok Datuk Mahfuz keluar PAS dan masuklah mana-mana parti dalam PH. Saya rasa itu lagi senang," katanya. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.