shahbudindotcom
Seperti
yang dijangka, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan “gula-gula”
kepada peneroka-peneroka Felda, yang antara lainnya termasuk:
1. Wang tunai RM5,000 bagi setiap peneroka yang layak melibatkan peruntukan RM475 juta.
2. Sumbangan untuk mengurangkan pinjaman pembelian saham FGV yang ditanggung peneroka melibatkan peruntukan RM128 juta.
3. Pengurangan hutang penanaman semula peneroka sebanyak RM5,000 bagi setiap peneroka melibatkan peruntukan RM519 juta.
4. Dana RM300 juta sebagai tabung pinjaman untuk membantu penanaman semula.
Empat
“gula-gula” utama ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.422 bilion
pada masa Kerajaan Persekutuan dan Felda tidak mempunyai sumber
kewangan.
Dato’ Seri Najib perlu memperincikan
dari mana pentadbiran beliau akan memperolehi dana RM1.422 bilion ini
supaya peneroka-peneroka tidak menjadi mangsa gula-gula Barisan Nasional
buat kali kedua.
Perkara ini telah pun berlaku
menjelang PRU13 apabila peneroka-peneroka Felda dibayar sagu hati
sebanyak RM15,000 setiap keluarga kononnya sebagai “durian runtuh”
akibat penyenaraian FGV. Perkara ini dilaporkan di dalam penyata
kewangan Felda yang diaudit bagi tahun 2013 seperti yang saya sertakan
di sini – “durian runtuh” sebanyak RM1,687,922,299 (2012) dan
RM4,917,440 (2013); serta bayaran “one-off” kepada kerajaan negeri
sebanyak RM550,000,000.
Jumlah yang dibayar
sebagai “gula-gula” menjelang PRU13 ialah RM2.243 bilion dan ini
dimasukkan menjadi belanja yang ditanggung Felda untuk menyenaraikan
FGV.
Wang untuk membayar “gula-gula” menjelang
PRU13 ini diambil dari dana Felda termasuklah sebahagian besarnya
pinjaman yang dibuat oleh Felda dari KWSP, yang banyaknya disalurkan
kepada FGV (seperti nota dari penyata kewangan Felda yang saya
lampirkan).
Sebab itu saya menyeru
peneroka-peneroka Felda dan rakyat Malaysia untuk mengambil iktibar
bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib pernah menggunakan duit rakyat dan
peneroka untuk menyogok peneroka dengan “gula-gula” sebelum PRU13
dahulu. Selepas PRU13, peneroka Felda dan rakyat dibebankan dengan
hutang yang diambil Felda untuk menyogok peneroka Felda sehinggalah
Felda berada dalam keadaan yang parah sekarang.
Saya
yakin Dato’ Seri Najib kini menggunakan muslihat yang sama –
menggunakan wang rakyat yang akan ditanggung oleh rakyat untuk memberi
sogokan kepada peneroka. Akhirnya, wang RM5,000 yang diberikan kepada
peneroka akan menjadi hutang Felda yang sama-sama ditanggung oleh
peneroka kemudiannya, seperti mana telah berlaku sebelum PRU13.
Hakikatnya,
Felda sudah tidak ada wang untuk diagihkan seperti ini. Selepas
penyenaraian FGV yang mengundang malang, Felda menanggung hutang
sekurang-kurangnya sebanyak RM8 bilion.
Dalam
keadaan keberhutangan itu, dalam tahun ini Felda membeli pula pegangan
dalam syarikat perladangan di Indonesia milik sahabat Dato’ Seri Najib
pada harga yang berkali ganda lebih tinggi melibatkan wang sebanyak
RM2.2 bilion. Jumlah RM2.2 bilion itu sudah tentu dibayar dengan hutang
sekali lagi.
Maka anggaran saya Felda kini
berhutang sekitar RM10 bilion dengan bayaran faedah sekurang-kurangnya
RM400 juta setahun. Kedudukan kewangan Felda hanya dapat dianggarkan
kerana sehingga kini, Felda belum mengedarkan laporan kewangan yang
diaudit bagi tahun 2015 dan 2016 walaupun kita sudah memasuki suku
ketiga 2017.
Dalam keadaan ini, mustahil Felda mempunyai dana sendiri untuk membayar “gula-gula” pilihanraya sebanyak RM1.422 bilion ini.
Dana
ini sama ada dipinjam lagi oleh Felda (yang akan diwariskan kepada
peneroka kerana hutang Felda adalah hutang peneroka) atau diperuntukkan
kerajaan dari kutipan GST atau wang PETRONAS – kedua-duanya bermakna
lebih banyak potongan peruntukan kepada rakyat keseluruhannya kerana
terpaksa dibelanjakan sebagai sogokan politik.
Yang
saya paling kesali ialah pengumuman sogokan ini berpunca dari
kegagalan, ketirisan, penyelewengan dan kebodohan pentadbiran Dato’ Seri
Najib sendiri yang telah menyebabkan beban kepada peneroka Felda:
1.
Penyenaraian FGV yang gagal telah menyebabkan peneroka Felda menanggung
hutang pembiayaan pembelian saham-saham FGV sedangkan nilai saham
mereka jatuh teruk. Jika Dato’ Seri Najib tidak menyenaraikan FGV
seperti yang didesak oleh kami, maka masalah ini tidak akan timbul.
2.
Hutang penanaman semula peneroka yang mencecah lebih seratus ribu
ringgit setiap peneroka berpunca dari ketirisan dan penyelewengan dalam
pelantikan kontraktor serta pengurusan penanaman semula yang lemah. Jika
proses ini diuruskan dengan baik oleh Felda tanpa terdedah kepada harga
tender yang tinggi kepada kontraktor yang dilantik, sudah tentu
peneroka tidak perlu untuk menanggung hutang-hutang ini.
Dato’
Seri Najib mungkin merasakan sogokan yang diumumkan itu akan dapat
mengembalikan sokongan peneroka Felda kepada Umno/BN. Beliau sepatutnya
lebih bimbang bahawa rakyat keseluruhannya semakin memahami kos yang
ditanggung rakyat akibat keputusan-keputusan bodoh dan penyelewengan
pentadbiran beliau.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN.
Ulasan Blog - Tidaklah
sukar sebenarnya untuk memahami bahawa gula-gula yang ditawarkan Najib
Razak kepada para peneroka ini adalah umpan politik untuk menang
piliharaya semata-mata. Ia boleh dikatakan sebagai ulangan kepada umpan
RM15,000 yang diberikan pada pilihanraya 2013 lalu.
Oleh
kerana ia umpan, tujuannya bukan untuk menyelesaikan masalah sebenar
para peneroka Felda. Ia hanya untuk menghalalkan ganjaran demi ganjaran
diberikan setiap kali pilihanraya tiba, walaupun hakikatnya Felda tidak
ada duit dan terpaksa berhutang untuk membayar semua yang dijanjikan
itu.
Jika ada pilihanraya lagi, ia akan diulang sekali lagi dalam bentuk yang lain pula. Itulah putarannya.
Sebab
itu, Suara Generasi Kedua Felda sendiri tidak gembira dengan apa yang
diumumkan Najib itu. Bagi mereka, masalah sebenar peneroka Felda ialah
pengurusan ladang yang tidak cekap serta penyata hutang tidak diberikan
kepada peneroka.
Kali
ini, entah di mana lagi Felda akan berhutang untuk membayar semua yang
dijanjikan. Semua orang tahu Felda tidak banyak. FGV sendiri rugi
banyak dan wangnya yang pernah ada suatu ketika dalulu sudah pun
dibelanjakan macam-macam, antaranya beli hotel dengan harga mahal di
London dan sebagainya.
Apabila perlu berhutang, bermakna peneroka sendiri yang akan menanggungnya untuk jangka masa panjang.
Diberikan
sedikit wang saku, tapi akhirnya peneroka terpaksa menanggung hutang
yang bukan saja banyak, malah berpanjangan. Sudahnya, peneroka juga
rugi.
Yang
untung, hanyalah UMNO dan BN yang sepanjang masa mempergunakan peneroka
Felda. Sebab itu, peneroka perlu bijak dalam membuat pilihan dalam
pilihanraya akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.