Oleh Athirah Hanapiah & Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: PAS sudah memerintah Kelantan selama 27 tahun dan konsisten
memperjuangkan pelaksanaan perundangan Islam di negeri itu, kata Exco
Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Justeru, tidak timbul soal kerajaan DUN Kelantan tergesa-gesa
meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah
2002 (Pindaan 2017) yang antaranya memperuntukkan hukuman sebat
dilakukan secara terbuka.
"Kalau nak bercakap soal tergesa-gesa, kita dah memerintah Kelantan
selama 27 tahun, adakah ini tergesa-gesa," katanya ketika ditemubual
secara eksklusif Antarapos, baru-baru ini.
DUN Kelantan sebelum itu dikritik sebagai tergesa-gesa kerana
meluluskan pindaan akta itu tanpa menunggu Akta 355 diluluskan di
Parlimen.
Nassuruddin bagaimanapun menjelaskan pindaan RUU Tatacara Jenayah
Syariah 2002 (Pindaan 2017) tiada kaitan dengan Akta 355, kerana ia
hanya membabitkan kaedah atau mekanisma sesuatu hukuman sedia ada
dilaksanakan.
Sementara Akta 355 adalah hanya berkisar soal had hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah syarie.
"Tidak timbul soal kita tergesa-gesa sedangkan Akta355 belum pun
diluluskan di dalam parlimen, tidak timbul soal itu sebab walaupun enam
kali sebatan tetapi secara terbuka.
"Bukan kata kita pinda dari segi jumlah hukuman, dari segi jumlah enam
juga bukan 40. Nak jadikan (hukuman) 40 (sebatan) mesti kena pinda
(Akta) 355 dulu di parlimen," katanya.
DUN Kelantan beberapa minggu lalu telah meluluskan rang undang-undang
(RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara
lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.
Usul yang dibawa oleh beliau itu antara lainnya memperuntukkan kuasa
kepada pegawai penguatkuasa agama untuk menggunakan gari ke atas suspek
selain membenarkan penggunaan video sebagai bahan bukti semasa
perbicaraan.
Sementara itu, beliau yang memegang portfolio Exco Pembangunan Islam,
Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri yakin rakyat Kelantan
memahami dan menerima baik usaha kerajaan negeri memartabatkan
perundangan Islam di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
"Rakyat Kelantan dari dulu lagi rakyat yang beragama, yang suka kepada
agama, dan suka ada pengahayatan ajaran agama di Kelantan.
"Di antara sebab rakyat beri sokongan kepada parti Islam ini ialah
kerana mereka ingin melihat pemerintahan dilaksanakan secara Islam
termasuklah soal perundangan, itu harapan mereka.
"Memang rata-rata rakyat Kelantan ni menyokong penuh usaha yang kita buat ni," ujarnya tegas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.