Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Lambat
laun anggota Pakatan Harapan (PH) akan perlu berhadapan dengan realiti
dan wajib mendepani isu kontroversi membabitkan Pengerusinya, Tun Dr
Mahathir Mohamad, tidak kira ia kalah atau menang Pilihanraya Umum
(PRU14).
Jika
menang, mungkin isu kesesuaian dan kebijaksanaan mengangkat bekas
diktator itu lewat sedikit ditangani. Atau mungkin juga tidak akan
sempat diuruskan kerana Mahathir pasti bersedia mempertahankan dirinya
daripada menjadi sasaran kerabat PH.
Malah dalam kegirangan meraikan kemenangan, parti-parti seperti PKR,
DAP dan Amanah mungkin “dilalaikan” Mahathir untuk “melihat ke hadapan”
dan melupakan sebarang “kecurigaan” lampau.
Bagaimanapun jika PH gagal dalam PRU14, “pemugaran” dalam PH akan
terpaksa dibuat dan barulah ketika itu kerabat PH akan menggodam segala
pertahanan dan alasan Mahathir mahu menggabungkan diri dengan rancangan
besar mereka menumbangkan kerajaan Umno-BN.
Ini bukan satu kebarangkalian. Sebaliknya, seperti yang digarap oleh
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, ia adalah satu
kepastian kerana menganggap polemik seperti ini sebagai satu lumrah
politik.
Beliau mengambil pendirian demikian sebagai meluruskan reaksi
sebahagian penyokong pembangkang yang membantah tindakan PH melantik
Mahathir selaku Pengerusi gabungan berkenaan.
Saifuddin berpendirian bahawa penyokong pembangkang perlu memahami
tujuan penubuhan PH sebelum mengkritik keputusan pakatan itu bersabit
struktur kepimpinannya yang diumumkan dua minggu lalu.
Beliau menegaskan dalam keadaan sekarang “tawaran atau alternatif
politik yang cuba diajukan PH” adalah jauh lebih penting daripada
'menoleh ke belakang dan bercakap tentang sejarah lampau'.
"Kalau kita bercakap tentang sejarah lampau, kita tak bergerak ke
depan. Jadi saya takkan layan sebarang soalan berkaitan perkara lampau.
Tumpuan sekarang adalah tawaran yang PH nak buat. Itu lebih penting,"
katanya.
Tun M modal besar?
Dalam Forum “Mahathir Agen Perubahan atau Agen Pemusnah” anjuran Kelab
Bangsar Utama Selasa lalu ramai penyokong PH menzahirkan bantahan dan
masih berbelah bahagi terhadap keputusan melantik Dr Mahathir Pengerusi
PH.
Antaranya, pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvam yang
mempertikaikan mengapa pembangkang perlu bergantung pada bekas perdana
menteri itu untuk melakukan “revolusi mahupun perubahan”.
Pada
14 Julai lalu PH mengumumkan struktur parti itu yang menamakan Datuk
Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, Dr Mahathir Mohamad sebagai
Pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.
Saifuddin berkata, PH tidak mampu menghalang apa jua reaksi yang muncul
daripada setiap keputusan politik yang dibuat oleh pakatan itu, tidak
kira ia datang daripada kalangan dalam atau luar parti.
"Mereka (penyokong) bebas untuk membuat pilihan. Tapi kalau kita buat
satu keputusan politik, melahirkan PH dengan struktur kepimpinan
sebegitu, maknanya kita dah sedia bergerak ke depan. Itu lebih penting,"
kata Saifuddin.
Bak api dalam sekam isu “memanfaatkan” penyertaan Dr Mahathir ini pasti
akan sentiasa menghangatkan politik PH sebelum dan sesudah PRU14 kerana
beliau adalah satu-satunya “modal besar” yang ada pada PH.
Rekod silam 'ditelanjang' jika PH kecundang
Sebenarnya Saifuddin memang memahami lumrah politik – di kala senang
semuanya indah, tetapi bila dibadai masalah masing-masing akan
membongkar semua kemungkinan untuk dijadikan alasan mengapa gagal.
Buat sementara ini PH akan mengutarakan pemikiran yang “muluk dan suci”
Dr Mahathir dan cuba melindungi “sisi bengis dan kejamnya” ketika
memerintah dan cuba memadamkan api reformasi suatu masa dahulu.
Kini pemimpin PH seperti Saifuddin, Johari Abdul, Lim Kit Siang,
keluarga mendiang Karpal Singh akan berusaha menyimpan komen dan parut
politik yang dilarik Mahathir 19 tahun lalu apabila beliau memecat dan
mengaibkan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Demikian lumrah politik. Jangan hairan jika PH kecundang, Saifuddin
akan ‘memimpin’ pula gerakan ‘menelanjangkan’ rekod zalim Mahathir yang
pasti dianggap ketika itu sebagai ‘liabiliti’ politik.
Saifuddin ialah ahli politik. Begitu juga rakan-rakannya yang lain
dalam PH. Meskipun kini tugasnya untuk menjaja “keelokkan” dan
menjunjung “kehebatan firasat” politik Mahathir, semuanya akan berubah
jika Mahathir dan PH gagal.
Namun
beliau dan rakan-rakan seangkatannya haruslah akur bahawa menang atau
kalah, Mahathir sudah pasti sedia melakarkan skrip politiknya sendiri
untuk menghadapi reaksi yang ‘lumrah’ daripada PH yang kecewa.
Paling asas ialah persoalan, benarkah Mahathir sudah insaf dan berubah?
Mampukah beliau menukar naluri dan deria politiknya selepas bergelumang
dalam politik lebih enam dekad? Atau, Mahathir akan tetap Mahathir?
Mahkota kejayaan politik Mahathir ialah kemampuannya ‘menjinakkan’
lawan politiknya. Cubalah tanya Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam
dan mungkin juga Anwar Ibrahim sendiri. Itu lumrah baginya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.