Selasa, 25 Julai 2017

Kelas percuma semarak rasa cinta terhadap al-Quran


ISMA WEB
 



KUALA LUMPUR – Dalam usaha menyemarakkan rasa cinta umat Islam terhadap kitab suci al-Quran, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di sini mengambil inisiatif menawarkan Kelas Talaqi al-Quran secara percuma.

Ustaz Mohd Faisal Tan Mutallib, ketua pentadbir masjid itu yang dahulunya dikenali sebagai Masjid Jamek Kuala Lumpur, berkata kelas Talaqi itu dari Isnin hingga Khamis bermula pukul 2 hingga 3 petang, juga merupakan platform terbaik bagi pelajar menimba ilmu yang terkandung dalam al-Quran.

“Selain belajar teknik bacaan yang betul, makhraj huruf dan penekanan terhadap hukum tajwid, peserta kelas akan juga diterangkan terjemahan ayat-ayat yang dibaca,” katanya kepada Bernama.

Mohd Faisal berkata beliau mendapat ilham untuk menubuhkan kelas yang dilaksanakan sejak tahun 2013 itu sewaktu menunaikan haji di tanah suci Makkah beberapa tahun lepas.

Jelasnya, beliau tertarik dengan konsep mengaji dan membaca al-Quran yang diajar di beberapa masjid yang dilawatinya di sana.

Beliau dapati budaya membaca al-Quran cukup tinggi dalam kalangan umat Islam di Makkah.

“Kami tidak mengenakan sebarang bayaran kepada umat Islam yang mengikuti kelas ini kerana niat kami ikhlas untuk menyemai minat membaca al-Quran.

“Saya juga berpesan kepada tenaga pengajar agar tidak mengambil sebarang wang yang diberi oleh pelajar… jika mereka memberinya juga, wang itu hendaklah didermakan kepada tabung masjid,” katanya.

Kelas itu terbuka kepada semua golongan, tetapi mereka yang berumur 40 tahun ke atas memberikan sambutan yang sangat baik berbanding golongan muda yang banyak terhad oleh faktor kekangan masa dan kerjaya.

Mohd Faisal berkata beliau kagum dengan semangat yang ditonjolkan oleh para pelajar terutama golongan dewasa yang tidak pernah patah semangat untuk berusaha mendalami ilmu al-Quran.

“Kebanyakan pelajar mengakui jarang membaca al-Quran ketika mereka bekerja (sewaktu muda) dahulu menyebabkan pembacaan mereka tidak lancar sedangkan penting bagi kita untuk sentiasa mengamalkannya,” katanya.”

Seorang daripada tenaga pengajar, Ab Halim Yatim mengakui berhadapan cabaran getir sepanjang mengajar di dalam kelas itu kerana berdepan dengan pelbagai kerenah pelajar yang ternyata menguji tahap kesabarannya.

Beliau yang telah berkhidmat selama 23 tahun dalam bidang berkenaan berkata terdapat pelajar yang tidak dapat menyempurnakan bacaan dengan baik walaupun telah diajar berkali-kali sehingga mereka hampir putus asa dan menitiskan air mata.

“Namun saya mempunyai cara tersendiri dengan memberi kata-kata perangsang selain memuji bacaan mereka kerana saya tidak mahu mereka berhenti membaca al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Zainab Wali, 64, yang baharu sahaja mengikuti kelas berkenaan sebulan lepas cukup teruja dapat dibimbing oleh tenaga pengajar yang mahir dalam bidang bacaan al- Quran selain berjumpa dengan kenalan baharu di kelas itu.

“Saya tiada banyak masa mengaji (dahulu) kerana terpaksa bekerja dan menjaga anak sehingga hampir mengabaikan perkara yang dituntut agama.

“Jadi saya ambil keputusan untuk belajar di kelas ini kerana saya perlukan bimbingan untuk mempelajari dan mengasah teknik bacaan saya dengan betul,” kata ibu kepada tiga anak yang menetap di Pantai Dalam di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.