Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Hanya tiga wakil rakyat PAS Kedah yang dikatakan punya
'hubungan mesra' dengan Pakatan Harapan (PH) tahu niat mereka sama ada
mahu terus setia bersama parti atau sebaliknya.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata
walau apa pun sikap yang diambil mereka, parti kekal dengan pendirian
untuk tidak bekerjasama dengan PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM).
"Persoalan sama ada mereka ingin meninggalkan PAS atau sebaliknya, jawapan ada kepada mereka. Saya tiada jawapannya.
"Sebagai ahli PAS, tak kira ADUN atau ahli Parlimen sewajarnya akur
dengan keputusan yang dibuat oleh pimpinan; tidak hanya di Kedah sahaja
tetapi semua YB PAS terikat dengan keputusan dan pendirian semasa PAS,"
katanya kepada Antarapos menerusi aplikasi WhatsApp.
Fakhruddin diminta mengulas ura-ura tiga wakil rakyat PAS dari Kedah
bakal meninggalkan parti itu selepas dilaporkan sering hadir dalam
program anjuran PH.
Mereka adalah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; ADUN Anak
Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah dan ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa.
Mereka juga dilaporkan semakin menonjol dalam pentas ceramah pakatan itu.
PAS mengambil pendirian membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP pada 2015
selepas parti pimpinan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng itu mengkritik
agenda politik berteraskan Islam yang dibawanya.
Keputusan itu akhirnya membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat (PR) yang dibentuk sejak 2008.
Mei tahun ini, PAS sekali lagi membuat kejutan memutuskan hubungan
politik dengan parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana
mendakwa PKR kerap kali melanggar syarat, antaranya bekerjasama dengan
DAP dan Amanah.
"PAS telah mengambil ketetapan seiring dengan keputusan Majlis Syura
Ulama bahawa PAS tiada hubungan politik dengan parti DAP, Amanah dan
yang terakhir adalah PKR.
"Pendirian ini secara tidak langsung mempengaruhi segala bentuk program
kepartian termasuklah program ceramah," tegas Fakhruddin merujuk kepada
khabar angin melibatkan tiga pimpinan PAS Kedah itu.
Selepas PAS melakukan 'pembersihan' parti pada Muktamar Tahunan 2015,
hanya Mahfuz sahaja dilihat tidak sehaluan dengan kepimpinan utama parti
dengan bertindak mengkritik dan mempersoal dasar perjuangan PAS selepas
bergerak secara sendirian.
Meskipun mengakui dirinya masih ahli PAS, namun tindakannya mesra PH menimbulkan resah di kalangan ahli akar umbi.
Pun begitu, Pengerusi Lembaga Disiplin PAS, Dr Daeng Sanusi Mariok
mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan salah
laku Mahfuz, dan menyebabkan mereka tidak dapat mengambil tindakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.