Khamis, 27 Julai 2017

Diserang Pemuda Umno, ARMADA bela Siti Nurhaliza


Ketika pemimpin Pemuda Umno membidas Siti Nurhaliza dan suaminya, gerakan pemuda parti serpihannya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengambil sikap berbeza.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata penyanyi nombor satu negara itu telah memainkan peranan besar dalam misi kemanusiaan dan aktif membantu NGO berkaitan.

Malah, tambah Syed Saddiq, Siti atau nama penuhnya Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, juga pernah terlibat dengan misi kemanusiaan ke Yaman.

“Pada awal tahun lepas, Datuk Siti dan keluarga termasuklah (suaminya) Datuk K (Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa) telah pun pergi ke Palestin. Walaupun bukan atas tiket mana-mana NGO mahupun pihak yang berkepentingan.

“Saya percaya dengan penziarahan tersebut, mereka telah pun membuka mata rakyat Malaysia mengenai isu Palestin ini.

“Walaupun mereka hanya menziarahi Masjid Al-Aqsa, Palestin tapi saya percaya ia membawa mesej yang sangat bermakna buat rakyat Malaysia dan Palestin,” kata Syed Saddiq.

Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah hari ini berang dengan komen Siti terhadap pertembungan anggotanya dan Pemuda BERSATU (ARMADA) di ibu negara kelmarin.

Siti menulis "Yang kuat gaduh tu patut hantaq pi Palestin baguih" bersama-sama emoticon ketawa.

Menulis di Facebooknya, Armand kemudian mempersoalkan sekiranya suami Siti, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pernah ke Gaza untuk membantu penduduk Palestin di sana, sedangkan Pemuda Umno sudah beberapa kali ke sana.

Dalam kenyataan hari ini, Syed Saddiq berkata beliau tidak faham kenapa Armand menjadi “sangat defensif” dengan teguran Siti yang menurutnya tidak pun sekasar mana.

“Teguran itu ditujukan kepada kedua-dua belah pihak, bukan sahaja pada Umno,” katanya.

Beliau juga berkata Armand tidak harus “bongkak” dengan sumbangan kepada warga Palestin, sedangkan banyak lagi pihak yang jauh lebih banyak sumbangannya tetapi tidak pernah mendabik dada.

“Janganlah kerana politik kita lupa diri,” kata bekas pendebat terbaik Asia itu.

Dalam insiden Selasa lalu, sekumpulan anggota Pemuda Umno menghalang ARMADA daripada menghantar undangan debat dengan pengerusinya Tun Dr Mahathbir Mohamad sehingga mencetuskan kekecohan, perang mulut dan tolak menolak.

Ketua Penerangan ARMADA, Ashraf Mustaqim turut mendakwa ditumbuk. Bagaimanapun pemimpin Pemuda Umno menafikan dakwaan itu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.