SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan logo partinya, Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak boleh digunakan oleh DAP pada
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana ia mahu kekal sebagai parti
Melayu dalam meraih sokongan pengundi Melayu.
Beliau yang dipetik Free Malaysia Today (FMT) berkata demikian ketika
ditanya sama ada DAP boleh bertanding pilihan raya umum nanti sekiranya
pendaftaran mereka dibatalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia
(RoS).
Menurut Pengerusi PPBM itu, DAP masih boleh menggunakan loga dua parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).
“Ada dua parti lain (dalam PH) yang berbilang kaum. DAP boleh
bertanding di bawah dua parti itu (kalau pendaftaran mereka dibatalkan).
“Saya yakin PKR dan Amanah akan terima mereka, tetapi kita tidak boleh,
kerana kita parti Melayu,” kata Dr Mahathir ketika menghadiri majlis
rumah terbuka anjuran ahli politik DAP, Datuk Zaid Ibrahim hari semalam.
PPBM kata Dr Mahathir, perlu kekal sebagai parti Melayu untuk meraih
sokongan pengundi Melayu dan PH akan tempang pada pilihan raya umum akan
datang tanpa sokongan pengundi Melayu.
Mantan perdana menteri itu berkata, keadaan itu juga telah menyebabkan Pakatan Rakyat gagal menang pilihan raya umum 2013 lalu.
"Suka atau tidak, orang Melayu masih sangat komunal, sebab itu mereka sokong Umno.
"Mereka tidak akan sokong parti berbilang kaum. Mereka (Pakatan Rakyat)
raih banyak sokongan orang Cina, tapi tidak banyak sokongan orang
Melayu dan tanpa mereka kamu tidak boleh menang," katanya.
Pada 7 Julai lalu, Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohammad Razin Abdullah
meminta DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat
(CEC) ekoran pelantikan ahli CEC dan pemegang jawatan utama DAP pada 29
September 2013 dianggap tidak sah dari segi undang-undang.
Beliau berkata, pemilihan semula itu sepatutnya berdasarkan kepada
senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan
CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, yang melibatkan seramai 2576
perwakilan dari 865 cawangan.
Mohamad Razin berkata pemilihan semula CEC yang baru adalah perlu bagi
memilih 20 orang anggota yang sah berpandukan kepada Akta Pertubuhan
1966 dan Perlembagaan Parti DAP untuk membolehkan pemilihan itu
diiktiraf RoS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.