OLEH LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM: Sebanyak 29 hotel bertaraf empat dan lima
bintang di Selangor dijangka terjejas dengan pelaksanaan Cukai
Pelancongan.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal
Pengguna , Elizabeth Wong berkata, ia membabitkan sejumlah 7,121 bilik
ditawarkan di kesemua hotel berkenaan.
Katanya, 29 hotel itu juga dijangka menjana pendapatan RM99,694
sehari dan RM36.4 juta setahun, dengan anggaran 70 peratus dihuni.
“Pelaksanaan cukai ini juga dijangka memberi kesan kepada harga bilik hotel dalam pasaran.
“Hotel kebiasaannya sudah menjelaskan cukai tertentu, ditambah lagi
dengan cukai terbaru, kos semestinya akan bertambah,” katanya pada
sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan
Negeri (ADN) Balakong, Ng Tien Chee berhubung kesan terhadap hotel di
Selangor.
Elizabeth berkata, Kerajaan Negeri menggesa agar satu sistem dan hala tuju lengkap disediakan bagi pelaksanaan cukai berkenaan.
“Buat masa ini, Sarawak pun menggesa pelaksanaannya ditangguhkan sebab menyedari ia memerlukan masa untuk dilaksanakan.
“Kita percaya, sesuatu yang dilaksanakan secara tergesa-gesa dan dibuat dalam masa singkat selalunya tidak berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan tambahan ADN
Kinrara, Ng Sze Han berhubung keupayaan Kerajaan Negeri untuk
menangguhkan hasrat Kerajaan Persekutuan itu.=EZY=
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.