Jumaat, 23 Jun 2017

Sabah terima Akta Cukai Pelancongan 2017

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menerima pelaksanaan Akta Cukai Pelancongan 2017, namun mahu penjelasan lebih lanjut mengenai beberapa isu penting bagi manfaat industri pelancongan negeri ini.
 
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata Kabinet negeri dalam mesyuarat semalam telah membincangkan secara panjang lebar mengenai akta berkenaan.
 
"Kementerian saya telah diamanahkan untuk membincangkan beberapa isu utama akta itu dan melaporkan kembali kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman serta Kabinet negeri hasil penemuan dan cadangan mereka.
 
"Sabah ingin menyumbangkan idea dan cadangan untuk memperhalusi peruntukan tertentu dalam akta itu dalam mengukuhkan industri pelancongan di negeri ini.
 
"Ini kerana pelancongan adalah industri yang sangat berdaya saing dan turut menjadi penyelamat ekonomi pada masa yang mencabar," katanya dalam kenyataannya, di sini, malam tadi.
 
Masidi berkata, dalam kes Sabah, industri itu dikawal oleh penduduk tempatan dari segi pekerjaan, justeru perlu diuruskan dengan baik.
 
Katanya, Sabah juga mahu menjemput Kementerian Pelancongan Sarawak untuk membincangkan beberapa isu berkaitan.
 
"Hasil perbincangan itu akan dikemukakan kepada ketua menteri dan Kabinet negeri masing-masing dalam bentuk memorandum kepada Kerajaan Persekutuan untuk pertimbangan.
 
 
 
"Memorandum ini akan diserahkan oleh kedua-dua Ketua Menteri kepada Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan kerana cukai pelancongan terletak dalam bidang kuasa Kementerian Kewangan Persekutuan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.