Khamis, 29 Jun 2017

Ramai lebih layak daripada Tan Sri Noh Omar

Oleh DATUK ISKANDAR A. SAMAD


 

SAYA mencadangkan Perdana Menteri menggantikan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan sekarang dengan seseorang yang lebih profesional.

Menteri sekarang, Tan Sri Noh Omar lebih suka bermain politik dan mengambil sikap berkonfrontasi dengan kerajaan negeri. Ini adalah satu sikap yang akan merugikan rakyat.

Saya melihat Timbalan Menteri sekarang, Datuk Halimah Mohamed Sadique lebih berwibawa dan terbuka. Lagipun beliau telah menjadi Timbalan Menteri sejak 2013 maka lebih berpengalaman dari Tan Sri Noh. Maka adalah wajar beliau menggantikan Tan Sri Noh.

Tetapi jika perlu melantik pemimpin dari Selangor, terdapat juga pemimpin BN yang layak mengganti Tan Sri Noh. Datuk Seri Dr Irmohizan Ibrahim, Ahli Parlimen Kuala Selangor adalah salah seorang calon pengganti Tan Sri Noh.

Ingin saya tegaskan di sini bahawa kerajaan negeri bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan di dalam isu-isu perumahan demi kebajikan rakyat.

Kami tidak bercakap kosong kerana telah memberikan keistimewaan kepada projek Perumahan 1 Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Perkhidmatan Awam 1 Malaysia (PPA1M) sama seperti projek Rumah Selangorku. Tetapi Menteri yang terlibat lebih suka mengambil sikap untuk berkonfrontasi dengan kerajaan negeri.

Oleh yang demikian, kerajaan negeri tidak boleh disalahkan jika mengambil tindakan balas.

Perlu diingatkan kerajaan negeri tidak menghalang pelaksanaan projek-projek PR1MA dan PPA1M di Selangor. Mereka hanya perlu patuh kepada peraturan yang sama seperti pemaju swasta yang lain.

DATUK ISKANDAR A. SAMAD
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.