shahbudindotcom
Apa
yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir Mohamad mengenai kemungkinan
perintah darurat ini bukanlah mustahil sebenarnya, malah disedari dan
mula diperkatakan oleh banyak pihak.
Ini
kerana rata-rata menyedari, berbanding semua Perdana Menteri sebelum
ini, Najib Razaklah yang paling takut untuk kalah dan hilang kuasa.
Lantaran itu, ramai yang menyuarakan kebimbangan bahawa perintah darurat
mungkin akan dilaksanakan sebagai jalan terakhir untuk mengekalkan
kuasa.
Mungkin
ada yang berhujah, kenapa tidak ditimbulkan perintah darurat pada
pilihanraya 2013 lalu sedangkan tentangan yang dihadapi Najib ketika itu
turut getir dan mencabar?
Sebenarnya,
pada pilihanraya 2013 lalu Najib masih yakin untuk menang, bahkan
ketika isu isu skandal 1MDB belum meletus dan difahami secara meluas
sebagaimana sekarang.
Berbeza
kali ini, bukan saja isu 1MDB sudah merebak difahami dan diperkatakan,
termasuk berkaitan wang berbilion masuk ke akaun peribadi dan gelang
serta rantai leher mewah yang dihadiahkan kepada isteri Malaysian
Official 1, bahkan kali ini Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim juga
seolah-olah sudah berganding bahu untuk menumbangkan Najib, UMNO dan BN.
Selain
itu, sudah banyak negara juga telah bertindak terhadap dana 1MDB yang
dilencongkan dengan yang paling panas ialah Amerika Syarikat melalui
Jabatan Kehakimannya atau DOJ dan ini secara tidak langsung memberi
kefahaman yang lebih jelas kepada rakyat tentang perlunya perubahan
dilakukan.
Namun demikian, apakah perintah darurat itu tidak boleh dielakkan dan bagaimana untuk mengelakkannya?
Kebarangkalian
untuk mencetuskan huru-hara akibat rasa tidak puas hati terhadap
keputusan pilihanraya dan kemudian disusuli dengan perintah darurat
hanya akan terjadi jika BN kalah tipis atau kurang 10 kerusi berbanding
Pakatan Harapan.
Kekalahan tipis itu akan menyebabkan mereka yang kehilangan kuasa memberontak dan mencetuskan huru-hara.
Bagaimanapun,
perintah darurat boleh dielakkan jika rakyat memberi kemenangan lebih
selesa kepada Pakatan Harapan. Sebaik-baiknya, kemenangan Pakatan
Harapan mestilah dengan majoriti sekurang-kurangnya 10 atau 15 kerusi
Parlimen supaya tiada alasan lagi untuk tidak puas hati dan menimbulkan
kekacauan .
Jika
dapat menafikan kemenangan BN dengan majoriti lebih besar atau sehingga
Pakatan Harapan mencapai majoriti dua pertiga misalnya, tentulah lebih
baik lagi dan akan mematikan terus senjata perintah darurat itu daripada
ditimbulkan.
Hakikat,
hanya dengan petunjuk bahawa perubahan kerajaan adalah benar-benar
keinginan dan hasrat mutlak majoriti lebih besar daripada rakyat dapat
menjadikan perintah darurat dielakkan sama sekali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.