Sabtu, 3 Jun 2017

Najib bangsawan tak faham pengorbanan veteran tentera

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad membidas Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa pentadbirannya cakna dengan kebajikan vetran tentera tetapi bertindak sebaliknya berdasarkan rekod semasa.

Katanya, Putrajaya lewat membayar caruman veteran tentera selama berbulan-bulan pada 2016.

Pembayaran caruman bulanan itu, kata Nik Nazmi, perlu dilakukan mengikut jadual ditetapkan, terutama apabila mengambil kira pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dibayar gaji lumayan untuk menjaga kebajikan bekas tentera.

Namun, katanya, dua tokoh “bangsawan” yang terbabit dalam hal ehwal tentera negara mungkin tidak mampu bersimpati dengan kepayahan hidup veteran tentera.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang lahir dalam keluarga bangsawan mungkin tidak memahami jerih perih veteran tentera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia itu turut menggesa Putrajaya agar tekal memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan sebarang masalah pentadbiran antara LTAT dan Jabatan Urusan Gaji Angkatan Tentera yang boleh melambatkan pembayaran.

Kegagalan menyelesaikan itu itu segera, kata Nik Nazmi, hanya akan memberi gambaran salah kepada perajurit yang sedang berkhidmat.

“Mereka akan terfikir nasib sama akan menimpa mereka apabila besara kelak.

“Apabila ini berlaku, tentu semangat juang anggota tentera menjadi luntur,” katanya.

Pada masa sama Nik Nazmi meminta meminta kerajaan memperkenalkan lebih banyak program latihan bagi menjamin kebajikan pesara tentera.

Tidak seperti kerajaan pusat, Nik Nazmi mendakwa, kerajaan Pakatan Harapan Selangor memberi sumbangan RM1 juta kepada pesara tentera melalui belanjawan 2017.

Ia tidak termasuk pelaksanaan skim pinjaman mikro Hijrah yang membolehkan pesara mendapatkan bantuan kewangan, selain program kemahiran untuk mereka.

“Jelas sekali, Harapan mengutamakan veteran sedangkan kerajaan Persekutuan mengabaikannya,” kata Nik Nazmi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.